SILVERSTONE: Pelumba McLaren, Lando Norris mengakui segala yang diimpikannya berjaya dicapai apabila melakar kemenangan penuh emosi di Grand Prix (GP) Britain, semalam.
Norris tersenyum puas selepas meraih kemenangan sulung di negaranya dalam aksi mendebarkan, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan dunia pemandu juga rakan sepasukannya, Oscar Piastri kepada lapan mata.
Piastri dikenakan penalti 10 saat kerana memandu secara tidak menentu ketika mendahului di belakang kereta keselamatan.
“Ia sungguh indah. Segala yang saya impikan, saya kira. Segala yang saya mahu capai. Selain kejuaraan, saya rasa ini adalah antara pencapaian dan perasaan terbaik yang saya pernah alami, penuh rasa bangga, semuanya.
“Di sinilah semuanya bermula untuk saya. Dulu saya hanya menonton di TV bertahun-tahun lalu dan kini, akhirnya saya berpeluang berada di sini.
“Satu perlumbaan yang luar biasa, penuh tekanan seperti biasa, tapi sokongan dari para peminat itu yang benar-benar membuat perbezaan hari ini (kelmarin), jadi saya sangat berterima kasih kepada mereka semua.
“Beberapa pusingan terakhir, saya hanya memandang ke arah penonton. Saya cuba untuk menikmatinya sepenuhnya, menyerap saat itu, kerana ia mungkin takkan berlaku lagi.
“Saya harap ia akan berlaku lagi, tapi kenangan ini akan saya bawa bersama selama-lamanya. Satu pencapaian yang luar biasa,” kata Norris.
Sementara itu, Piastri jelas kecewa dengan keputusan steward dan meminta McLaren supaya mengarahkan Norris menukar posisi dengannya, tetapi dia diberitahu bahawa pasukan tidak akan mengeluarkan sebarang arahan pasukan.
“Saya perlu lihat semula rakaman kerana saya rasa saya tak buat apa-apa yang berbeza atau salah,” katanya. – AFP