JOHOR BAHRU: Salah seorang anggota terlibat nahas helikopter terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah kelmarin, Sarjan Siti Latipa Khairuddin sempat mengirim gambar swafoto dalam pesawat sebelum kejadian berlaku Khamis lalu.
Anak bongsu mangsa, Mohamad Hariz Akmal Mohd. Jais, 21, berkata, ibunya amat teruja menaiki helikopter kerana ia merupakan pertama kali setelah berkhidmat sebagai seorang anggota polis sejak bujang lagi.
“Ibu juga sempat berkongsi gambar dia sedang duduk di dalam helikopter kepada kumpulan WhatsApp keluarga, beberapa minit sebelum helikopter itu berlepas,” katanya ketika ditemui di lobi Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini semalam.
Kata pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) itu, keluarganya bagaimanapun menerima berita bahawa helikopter berkenaan telah terhempas kira-kira 30 minit kemudian.
“Selepas setengah jam ibu hantar gambar tersebut, pintu kediaman kami di Kuarters Balai Polis Tanjung Kupang diketuk sebelum seorang anggota polis memaklumkan helikopter dinaiki ibu terhempas.
“Ketika itu memang kami terdiam kerana rasa terkejut, tidak sangka perkara seperti itu boleh berlaku. Kemudian kami bergegas ke hospital,” ujarnya.
Mohamad Hariz Akmal berkata, ibunya patah pergelangan kedua-dua kaki, selain retak tulang pinggul kiri serta lebam di bahagian muka dan badan.
“Alhamdulillah keadaannya semakin baik, dia boleh bercakap dan menjawab soalan. Bagaimanapun doktor nasihatkan agar ibu hanya diberi minum air kosong dan susu buat waktu ini.
“Dia belum dibenarkan makan makanan keras buat waktu ini untuk mengelak proses pemulihan bahagian dalaman badan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan helikopter jenis AS355N yang menyertai latihan keselamatan serantau sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025) telah terhempas. – UTUSAN