ADA menu Korea di kafe ala Barat? Saya dan isteri sedikit teruja apabila diberitahu hidangan kepak ayam pedas itu ada disediakan di Ace Cafe Kuala Lumpur sewaktu berkunjung ke situ, baru-baru ini. Maklumlah, baru pulang bercuti dari Korea Selatan, pastinya ‘rindu’ pada makanan yang begitu popular di negara tersebut masih belum pudar dalam ingatan kami. Lebih mengujakan, sos yang digunakan adalah resipi sendiri yang dicipta oleh pemilik kafe berkenaan, Datin Amelia Shuib.
Menurutnya, ilham mencipta sos istimewa tersebut tercetus sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda wabak Covid-19, lima tahun lalu. Ceritanya, apabila terpaksa berkurung di dalam rumah, anak-anaknya sering menghabiskan masa menonton filem dan drama Korea di televisyen.
Akibatnya, mereka terikut-terikut makan teokbokki, bulgogi, bibimbap dan banyak lagilah masakan dari Korea seperti yang dilihat dalam televisyen. Dari situ beliau dapat idea untuk mencipta sos sendiri bagi hidangan kepak ayam.
ACE CAFE KUALA LUMPUR
Lokasi: No. 21, Ace Corner KL, Jalan Raja Abdullah,
Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur.
Waktu operasi:
Isnin-Khamis: 12 tengah hari hingga 12 tengah malam
Jumaat: 12 tengah hari hingga 2 pagi
Sabtu: 9 pagi hingga 2 pagi
Ahad: Tutup
Ternyata cubaannya menjadi sehinggakan anak-anaknya kalau makan apa sahaja mesti mahu celup sos tersebut. Semasa PKP, beliau jual kepak ayam pedas dengan sos ciptaannya secara dalam talian dan ternyata mendapat sambutan begitu menggalakkan. Hidangan istimewa itu kemudiannya dimasukkan ke dalam menu Ace Cafe Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru di ibu negara sehingga sekarang.
“Ini adalah resipi saya, sos istimewa yang saya reka sendiri. Menu ini adalah yang paling laris di kafe ini.
“Rasanya sederhana. Nak kata pedas sangat bukanlah sampai mengalah tapi akan membuatkan kita nak makan lagi dan lagi. Bak kata orang, very enticing (sangat menggoda),” katanya.
Kami sendiri mencubanya. Ulasannya? Memanglah rasanya tidak sama seperti yang kami makan di Busan dan Seoul sebelum ini. Tapi yang ini rasanya memang wow!
Lebih menarik lagi, kami duduk di satu sudut terbuka yang boleh nampak Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Kalau bergambar terutama pada waktu malam, memang cun!
Kebetulan pula datang hari Sabtu, habis makan kami ‘layan’ persembahan muzik oleh busker.
Selain kepak ayam pedas (Hot Chicken Wings), ada dua lagi perisa iaitu keju parmesan barbeku (BBQ Parmesan Wings) dan bawang putih madu (Honey Garlic Wings).
Amelia berkata, kepak ayam pedas akan menjadi sajian istimewa di cawangan Ace Cafe di seluruh negara pada masa akan datang.
Ada satu lagi sajian istimewa, iaitu coklat goreng (Deep Fried Choc Bars). Pencuci mulut ini berasal dari Scotland dan dikatakan hanya ada di negara itu. Jangan terkejut kerana coklat goreng ini ada peminat tersendiri di sini.
Mereka mungkin pernah bekerja atau belajar di Scotland atau memang tahu tentangnya. Dan mereka datang berulang kali semata-mata mahu menikmatinya.
Kalau tidak mahu yang berat-berat, boleh cuba sup, salad, kentang goreng atau sosej. Mahu menu tempatan pun ada seperti kuetiau dan nasi goreng.
Set makan tengah hari ala Barat hanya RM19.90 termasuk air percuma. Mana nak dapat harga sebegini di restoran besar dan hotel lain di Kuala Lumpur? Bahagiannya juga banyak, mungkin boleh kenyang sampai ke malam!
Ujar Amelia, berdasarkan ulasan pelanggan menerusi platform dalam talian, Ace Cafe Kuala Lumpur mendapat pengiktirafan 4.8 bintang.
Bagaimanapun, katanya, ramai yang masih menyangka Ace Cafe Kuala Lumpur di bangunan bernama Ace Corner KL merupakan kedai motosikal. Itu tidak menghairankan kerana kafe ini sering dikunjungi pemilik motosikal, tidak kira besar mahupun kecil kapasiti enjinnya.
Ace Cafe Kuala Lumpur mula dibuka pada Mac 2022 di mana pada masa itu lebih memfokus kepada segmen makanan dan minuman (F&B) berikutan negara sedang beralih ke fasa endemik selepas lebih dua tahun berdepan Covid-19.
Melihatkan penerimaan baik daripada pelbagai pihak, kafe itu beransur-ansur memasuki segmen ruang acara dan barang niaga khusus kepada peminat jentera dua serta empat roda.
Jadi, pada mereka yang masih tercari-cari tempat makan lain daripada lain, apa kata ‘serbu’ Ace Cafe Kuala Lumpur. Habis makan boleh layan persembahan muzik atau cuci mata lihat barangan eksklusif yang dijual. – UTUSAN