JOHOR BAHRU: Dua daripada lima kru helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas pesawat itu terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kedua-dua mangsa kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiga kru lain berada dalam keadaan stabil.
“Daripada lima kru, dua agak kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan. Alhamdulillah, dengan kepakaran doktor di HSA, kita yakin dapat berikan rawatan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas melawat lima kru helikopter yang terhempas di Unit Kecemasan HSA.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.
Insiden berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jalan Cabang, Pekajang.
Helikopter itu dilaporkan terhempas ketika menyertai Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura 2025 (MITSATOM 2025).
Helikopter berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi sebelum dilaporkan hilang kawalan dan terhempas ke dalam sungai.
Mohd. Khalid memaklumkan bahawa kru helikopter terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga anggota termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara PDRM Bukit Aman serta anggota Balai Polis Tanjung Kupang.
Katanya, PDRM akan membantu sebaik mungkin dari aspek kebajikan, termasuk keluarga mangsa.
Mengenai sama ada helikopter jenis AS355N milik PDRM itu merupakan aset lama, beliau berkata, insiden yang berlaku adalah di luar kawalan.
“Lama tak menjadi masalah kalau kita dapat jaga dan selenggara dengan baik. Bagaimanapun (kemalangan) itu sesuatu yang di luar kawalan kita. Kita akan serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat punca-punca yang berlakunya perkara ini. Kita akan cuba yang terbaik bukan sahaja untuk PDRM, malah untuk semua,” katanya. – UTUSAN