VIRE: Pelumba Ireland, Ben Healy mencipta kejutan apabila melakukan kayuhan solo sejauh 32 kilometer (km) untuk menjuarai peringkat keenam Le Tour de France di Normandy, semalam.
Healy muncul pelumba Ireland pertama menang peringkat sejak Sam Bennett di Champs Elysees pada 2020, sambil menewaskan juara Amerika Syarikat (AS), Quinn Simmons di tempat kedua dan Michael Storer (Tudor) ketiga.
Pelumba kelab EF itu memecahkan diri daripada kumpulan sembilan pelumba dalam ‘breakaway’ pertengahan perlumbaan selepas menyedari peluang tipis jika menanti pendakian akhir.
“Saya tahu kalau tunggu pendakian, saya akan kalau. Jadi saya buat keputusan awal dan teruskan hingga ke garisan penamat,” kata Healy.
Langkah berani Healy menyebabkan lapan yang lain teragak-agak, termasuk Mathieu van der Poel yang akhirnya ‘angkat bendera putih’ dan menyimpan tenaga untuk pendakian Mur de Bretagne hari ini.
Namun, Van der Poel tetap mendapat ganjaran apabila kembali merampas jersi kuning pendahulu keseluruhan daripada Tadej Pogacar dengan kelebihan hanya satu saat.
Langkah Pogacar membenarkan Van der Poel menyertai ‘breakaway’ nyata disengajakan kerana mahu melepaskan tekanan sebagai pendahulu dan mengelak beban media serta protokol jersi kuning.
Perlumbaan peringkat keenam itu berlangsung sengit sejak awal dengan purata kelajuan 47km/j dalam suhu mencecah 26.5 darjah Celsius antara Bayeux dan Vire. – AGENSI