Harimau Malaya uji Singapura, ganti Piala CAFA?

Harimau Malaya uji Singapura, ganti Piala CAFA?

SKUAD Harimau Malaya dijangka bertemu Singapura pada aksi persahabatan antrabangsa Tier 1 pada jendela FIFA pada September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya dijangka kembali menghangatkan pentas antarabangsa apabila bakal berdepan seteru tradisi, Singapura, dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada jendela FIFA bulan September ini.

Pertemuan serantau yang penuh sejarah itu dijangka menjadi pengganti kepada penyertaan Malaysia dalam Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025, yang sebelum ini dibatalkan akibat beberapa kekangan teknikal dan logistik.

Menurut sumber rapat dari Singapura, perlawanan tersebut bakal memberi ruang kepada pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, untuk mencuba kombinasi baharu pemain sambil memperkukuh persiapan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober nanti.

“Malaysia akan menggantikan penyertaan mereka di CAFA dengan aksi persahabatan menentang Singapura di Kuala Lumpur. Perlawanan itu akan berlangsung dalam jendela FIFA September nanti.

“Satu lagi aksi persahabatan turut sedang dirancang, namun masih belum dimuktamadkan. Jika tiada pasukan lain, tidak mustahil Malaysia dan Singapura akan bertemu dua kali,” kata sumber tersebut.

Keputusan menarik diri daripada CAFA sebelum ini mengejutkan ramai pihak, terutama penyokong tempatan yang melihat kejohanan itu sebagai peluang keemasan untuk meningkatkan pengalaman antarabangsa selepas tamatnya kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.

Difahamkan juga, Pestabola Merdeka tidak akan dianjurkan tahun ini disebabkan kekangan masa untuk mendapatkan pasukan lawan yang sesuai.

Justeru, pertemuan dengan Singapura dilihat sebagai pilihan lebih praktikal bukan sahaja dari segi logistik, malah dari sudut membangkitkan semula semangat penyokong negara.

Rivaliti Malaysia-Singapura sememangnya tidak pernah membosankan kerana setiap kali kedua-dua pasukan ini bertemu, aura klasik dan semangat serantau kembali membara, menjadikan perlawanan ini antara yang paling dinanti-nantikan peminat bola sepak Asia Tenggara.

Lebih penting, ia menjadi medan terbaik untuk Harimau Malaya menyusun semula strategi dan menyuntik semangat baharu dalam fasa pembinaan semula skuad negara, menjelang cabaran lebih besar seperti Kelayakan Piala Asia 2027 dan Kejohanan Piala AFF yang akan datang.

Kini, seluruh peminat bola sepak tanah air menantikan pengumuman rasmi daripada FAM mengenai jadual penuh aksi persahabatan yang bakal berlangsung dalam tempoh jendela FIFA dari 1 hingga 9 September ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN