PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya terus mempamerkan peningkatan dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan naik enam anak tangga kepada kedudukan ke-125 dunia berdasarkan kemas kini terkini.
Menurut laman rasmi FIFA (www.fifa.com), skuad kendalian Peter Cklamovski kini mengumpul 1138.48 mata daripada kedudukan ke-131 yang diduduki pada April tahun ini.
Peningkatan itu didorong oleh kemenangan 2-0 Malaysia menewaskan Nepal dan kemenangan bergaya Harimau Malaya 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 serta keputusan seri 1-1 dengan Cape Verde dalam aksi persahabatan Tier 1.
Ranking skuad kebangsaan dijangka akan terus meningkat jika mampu menewaskan Laos pada 9 dan 14 Oktober ini, dengan kemas kini ranking seterusnya dijadualkan pada 18 September 2025.
Malaysia bagaimanapun masih ketinggalan di belakang beberapa pencabar Asia Tenggara dengan Thailand di tangga ke-102, Vietnam (113) dan Indonesia (118).
Argentina yang merupakan juara Piala Dunia 2022 terus menguasai carta di kedudukan No.1 diikuti Sepanyol, Perancis, England dan Brazil.-UTUSAN