PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli gagal menokok sebarang mata ekoran jentera yang bermasalah selepas terjatuh pada awal saingan perlumbaan pusingan ketiga Kejohanan Dunia FIM JuniorGP di Litar Magny-Cours, Perancis, malam tadi.
Walaupun ditimpa kemalangan, Hakim Danish masih mampu bangkit dan melengkapkan perlumbaan yang berlangsung di dalam hujan di kedudukan ke-29.
Hakim Danish berkata, dia kecewa dengan perlumbaan tersebut kerana gagal menamatkan aksi di posisi yang baik selepas terjatuh ketika saingan memasuki pusingan kedua.
“Keadaan litar yang basah akibat hujan membuatkan saya kurang yakin, terutamanya di bahagian tayar belakang kerana setiap pusingan saya dapat rasa ia agak longgar.
“Namun, saya tetap cuba untuk kekal konsisten dan berada di kelompok hadapan, tetapi malangnya saya terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya SIC Racing-MSI, hari ini.
Pelumba berusia 17 tahun itu berkata, dia akan mengalihkan fokusnya pada perlumbaan Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Sachsenring, Jerman, hujung minggu ini.
Bagi saingan pusingan keempat JuniorGP pula, Hakim Danish akan kembali beraksi di Litar Motorland Aragon, Sepanyol pada 26 dan 27 Julai ini.
Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing-MSI, Zulfahmi Khairuddin pula menjelaskan, perlumbaan pusingan ketiga itu sangat mencabar buat Hakim Danish kerana terpaksa beraksi di dalam hujan sedangkan ketika sesi latihan serta kelayakan keadaan permukaan trek sentiasa kering.
“Sepanjang minggu ini tiada sesi yang berlangsung dalam keadaan basah dan saya percaya (Hakim) Danish tidak mendapat perasaan yang baik dengan motosikal seawal pusingan pertama.
“Pasukan cuba melakukan sedikit pelarasan di grid dan ada sedikit peningkatan tetapi ia masih belum mencukupi,” katanya.
Zulfahmi berkata, Hakim Danish sebenarnya sangat bagus ketika berlumba di dalam hujan, tetapi, dalam situasi tersebut, ia agak sukar buat pasukan untuk melakukan pelarasan yang tepat kerana ketiadaan data latihan sewaktu trek basah.
Katanya lagi, Hakim Danish telah mencuba sedaya upaya, tetapi malangnya terjatuh pada pusingan kedua.
“Saya sedikit sebanyak kecewa dengan keputusan ini, tetapi inilah lumrah perlumbaan, apa sahaja boleh berlaku.
“Kami akan terus fokus dan berusaha untuk kembali ke podium. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya. – UTUSAN