Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyambut baik dan menyokong penuh saranan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung cadangan untuk mewajibkan pendidikan prasekolah di negara ini. Cadangan ini bukanlah asing lebih-lebih lagi ia pernah dibincangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.
GPMS berpandangan bahawa langkah ini amat wajar dan tepat pada masanya, selaras dengan usaha mengatasi masalah keciciran murid yang sering bermula sejak peringkat awal pendidikan yang kini menjadi cabaran utama pendidikan.
Pelaksanaan pendidikan prasekolah secara wajib dilihat sebagai satu bentuk intervensi awal yang boleh membantu membina asas kukuh dalam kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira (3M), seterusnya memudahkan proses pembelajaran apabila mereka melangkah ke sekolah rendah.
Selain itu, GPMS melihat perubahan zaman turut membawa perubahan dalam corak perkembangan kanak-kanak. Ramai murid masa kini dilihat mampu menguasai kemahiran asas 3M seawal usia 4 hingga 5 tahun, terutamanya mereka yang berpeluang ke prasekolah swasta atau mendapat bimbingan awal daripada ibu bapa.
Dalam konteks ini, GPMS bimbang jika pendidikan prasekolah tidak diwajibkan, murid yang tidak berpeluang mengikuti prasekolah akan ketinggalan berbanding rakan sebaya mereka.
GPMS juga mengambil kira realiti kehidupan ibu bapa masa kini yang semakin sibuk dengan tuntutan kerja dan komitmen harian. Tidak seperti generasi dahulu, kebanyakan ibu bapa kini tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengajar anak-anak mereka di rumah.
Maka, sekolah prasekolah bukan sekadar menjadi pusat pendidikan, malah menjadi tempat selamat dan sesuai untuk perkembangan awal kanak-kanak dari sudut akademik dan sosial.
GPMS percaya bahawa usia 4 hingga 5 tahun merupakan fasa penting dalam perkembangan kanak-kanak yang sangat sesuai untuk dimulakan pendidikan secara lebih sistematik.
Justeru, GPMS berharap agar pendekatan yang digunakan dalam pendidikan prasekolah kelak lebih holistik, tidak terlalu menekan aspek akademik tetapi memberi ruang kepada pembangunan insan secara menyeluruh.
GPMS yakin, dengan pelaksanaan dasar ini, pendidikan negara akan lebih seimbang dan inklusif, seterusnya melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bersedia menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya saing. – UTUSANLt
Kol. Bersekutu (PA) Saiful Adli Burhan Timbalan Pengerusi Tetap GPMS.