PETALING JAYA: Dominasi Malaysia dalam arena sukan antarabangsa terus terserlah apabila Nur Farah Ain Abdullah dan Bonnie Bunyau Gustin dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah SAM 2024, hari ini.
Kejayaan itu mengiktiraf kecemerlangan dua jaguh negara yang bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah mencipta sejarah tersendiri di peringkat dunia sepanjang tahun lalu.
“Anugerah ini adalah satu penghormatan besar kepada atlet, terutamanya apabila usaha keras dan disiplin dihargai oleh warga media sukan.
“Saya harap pencapaian ini memberi inspirasi kepada generasi pelapis untuk terus membawa sukan boling padang ke tahap lebih tinggi,” Farah Ain ketika ditemui selepas majlis, hari ini.
Lebih manis, gelaran itu diteruskan oleh sukan boling padang buat tahun kedua berturut-turut selepas dimenangi gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi pada edisi 2023.
Bagi Bonnie pula, gelaran yang dinanti sejak dua tahun lalu akhirnya digenggam selepas kejayaan mempertahankan emas Paralimpik serta memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg dalam kategori 72kg.
Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi eksklusif sebagai penghargaan atas jasa dan komitmen luar biasa mereka kepada sukan negara.
Turut menyerlah ialah perenang muda, Mohd Dhuha Zulfikry yang dinamakan Atlet Muda Terbaik selepas membolot enam emas serta memecahkan empat rekod SUKMA 2024.
Anugerah Persatuan Dinamik menjadi milik Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), manakala kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) terus unggul apabila diberi Anugerah Khas 100PLUS-SAM atas kecemerlangan menyeluruh sebagai kelab profesional terbaik negara.