BAGNERES DE LUCHON: Impian Remco Evenepoel untuk menjulang jersi kuning lebur apabila dia menarik diri dari Tour de France 2025 ketika mendaki Col du Tourmalet, hari ini.
Pelumba Soudal-Quick Step itu yang ketika itu di kedudukan ketiga keseluruhan, tidak mampu meneruskan kayuhan dalam peringkat ke-14 sejauh 182.6 kilometer dari Pau ke Superbagneres.
Evenepoel sebelum ini sudah menunjukkan tanda keletihan apabila ketinggalan masa dalam dua peringkat berturut-turut di Pyrenees, termasuk ujian masa individu mendaki pada Jumaat.
“Semalam dah teruk, hari ini lebih teruk,” kata juara Olimpik itu selepas tamat peringkat ke-13 dengan catatan mengecewakan.
Keadaan bertambah parah apabila pelumba berusia 25 tahun itu gagal mengekalkan rentak dalam pendakian sejauh 19km ke Tourmalet yang mempunyai kecerunan purata 7.4 peratus.
Setelah memberikan botol air kepada seorang kanak-kanak di tepi jalan, Evenepoel akhirnya masuk ke dalam kereta pasukan dan menamatkan cabarannya.
Tindakan itu berlaku setahun selepas dia membuat penampilan sulung cemerlang dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga keseluruhan. – AGENSI