SEREMBAN: Seramai empat orang penumpang cedera selepas bas ekspres yang dinaiki merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 243.9, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara) di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Muhamad Khairul Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.52 pagi tadi.
Menurutnya, jentera pertama sampai ke lokasi yang terletak 13 kilometer kira-kira pukul 3.06 pagi dan mendapati terdapat 30 orang penumpang bas terbabit dalam nahas berkenaan.
“Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang melanggar bahagian belakang sebuah lori treler. Terdapat 13 lelaki dewasa, 16 wanita dewasa, dan seorang kanak-kanak, yang merupakan penumpang bas berkenaan.
“Empat wanita dewasa mengalami kecederaan ringan manakala kesemua penumpang berjaya keluar sendiri dari bas sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi,” katanya hari ini.
Katanya, pemandu bas dan pemandu lori dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah diberikan rawatan awal sebelum ambulans tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi tamat pada pukul 4.05 pagi. – UTUSAN