LONDON: Newcastle United dilaporkan semakin hampir memuktamadkan perjanjian dengan penyerang Frankfurt, Hugo Ekitike yang bernilai 80 juta euro (RM396 juta).
Ejen pemain berkenaan, Ali Barat, kini berada di Newcastle untuk menyelesaikan beberapa butiran terakhir sebelum keputusan rasmi diumumkan dalam masa terdekat.
Perpindahan penyerang Perancis itu bakal mencipta rekod baharu perpindahan tertinggi kelab, mengatasi pembelian Alexander Isak bernilai 70 juta euro (RM347 juta) tiga musim lalu.
Terma peribadi telah dipersetujui antara Ekitike dan Newcastle bagi kontrak lima tahun dan pemain berusia 23 tahun itu bersedia menjalani pemeriksaan perubatan.
Difahamkan, bekas kelabnya yang juga pemenang Liga Juara-Juara musim ini, Paris Saint-Germain (PSG) akan menerima 20 peratus daripada jumlah yuran perpindahan.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe, sememangnya mencari seorang penyerang untuk digandingkan dengan Isak dan percaya Ekitike akan menjadi rakan sepasukan ideal untuk bintang Sweden itu di bahagian serangan.
Bagaimanapun, kehadiran Ekitike tidak bermakna Isak akan meninggalkan kelab berkenaan kerana Howe memasang impian untuk menggandingkan kedua-dua pemain terbabit.
Ekitike menikmati musim cemerlang di Jerman pada musim 2024–25, dengan menjaringkan 22 gol dan mencatatkan 12 bantuan gol dalam 48 perlawanan dalam semua kejohanan.
Dia membentuk gandingan mantap bersama Omar Marmoush sebelum pemain Mesir itu membuat keputusan untuk berpindah ke Manchester City pada Januari lalu.
Walaupun menunjukkan prestasi memberangsangkan bersama skuad Bawah-21 Perancis, Ekitike masih belum dipanggil menyertai skuad senior kendalian Didier Deschamps.
Dia berharap bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dalam Liga Juara-Juara bersama Newcastle akan dapat membantunya mendapat panggilan ke skuad kebangsaan.- AGENSI