Dua pasangan kembar seiras pilih Kolej Komuniti Segamat 2

Dua pasangan kembar seiras pilih Kolej Komuniti Segamat 2

kolej komuniti
Puteri Umairah dan Puteri Annisa, 18 serta Fakhrul Nazri dan Fakhrul Nazmi, 18  masing-masing mendaftarkan diri sebagai pelajar Sijil Teknologi Elektrik (SKE) Kolej Komuniti Segamat 2, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Pasangan Adik-beradik kembar seiras menjadi tumpuan sempena hari endaftaran pelajar baharu di Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2), Segamat di sini pada Selasa apabila kedua-duanya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama di institusi pengajian tinggi itu.

Puteri Umairah dan Puteri Annisa, 18 serta Fakhrul Nazri dan Fakhrul Nazmi, 18  masing-masing mendaftarkan diri sebagai pelajar Sijil Teknologi Elektrik (SKE) Sesi 1 2025/2026 yang merupakan pilihan utama mereka melalui sistem UPU.

Menurut Puteri Umairah, minat terhadap bidang teknologi elektrik telah mula berputik sejak mereka berada di sekolah menengah lagi.

“Kami memang minat bidang teknologi elektrik. Bila tengok kursus teknologi elektrik ini ditawarkan di KKS2, kami terus letak sebagai pilihan pertama di UPU.

“Kami ada semangat dan motivasi masing-masing. Mak dan ayah selalu pesan supaya kami belajar berdikari walaupun berada di institusi sama.

“Tapi dalam masa sama, kami akan saling menyokong dan bersaing secara sihat,” ujarnya.

“Kami tahu Kolej Komuniti khususnya Kolej Komuniti Segamat 2 mempunyai kemudahan yang baik serta tenaga pengajarnya juga berpengalaman,” katanya.

Sementara itu, Fakhrul Nazmi berkata, pemilihan untuk belajar bersama di tempat yang sama tidak bermakna mereka akan bergantung antara satu sama lain sepenuhnya.

“Saya yakin Kolej Komuniti Segamat 2 dapat membantu kami mencapai cita-cita sejak kecil dan seterusnya dapat mengubah diri ke arah yang lebih baik, “ ujarnya.

Terdahulu, KKS2 menerima kemasukan seramai 142 pelajar baharu bagi sesi pengajian kali ini dengan melepasi 101% enrolmen pengambilan yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Majlis pendaftaran pelajar baharu turut diserikan dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga yang memberikan sokongan moral kepada anak-anak masing-masing.

Selain pendaftaran turut diadakan Majlis Sesi Townhall Pengarah Bersama Ibu Bapa yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada ibu bapa berhubung sistem pembelajaran dan hal ehwal pelajar di Kolej Komuniti Segamat 2.

Kisah kejayaan awal dua pasangan kembar ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian secara berani dan bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN