LONDON: Novak Djokovic kembali ke gelanggang Wimbledon dengan misi memburu kejuaraan Grand Slam ke-25 yang bakal meletakkannya sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah tenis dunia.
Bintang Serbia berusia 38 tahun itu mengakui peluang terbaiknya untuk mencipta sejarah besar itu adalah di atas rumput Kelab All England yang cukup sinonim dengan kejayaannya.
“Saya setuju Wimbledon adalah peluang terbaik berdasarkan keputusan sebelum ini dan bagaimana saya rasa setiap kali beraksi di sini.
“Saya dapat motivasi tambahan untuk beri aksi terbaik di pentas tertinggi ini,” kata Djokovic.
Djokovic kini berkongsi 24 gelaran Grand Slam bersama Margaret Court dan berpeluang menyamai rekod Roger Federer selaku pemegang gelaran lelaki terbanyak di Wimbledon dengan lapan kejuaraan.
Dalam pada itu, pemain No. 1 dunia, Jannik Sinner bakal membuka kempen menentang rakan senegara Luca Nardi selepas tampil cemerlang tahun ini meskipun baru kembali daripada penggantungan.
“Rasa macam saya bermain tenis yang hebat di atas rumput,” kata Sinner.
Sementara itu, juara bertahan wanita Barbora Krejcikova pula masih dalam fasa pemulihan kecederaan paha dan hanya bermain enam perlawanan tahun ini termasuk tersingkir awal di Terbuka Perancis. – AGENSI