Dharyn Shakira juara lawan pedang

Dharyn Shakira juara lawan pedang

Dharyn Shakira bersama hadiah kemenangan selepas merangkul pingat emas dalam kejohanan lawan pedang Negeri Sembilan Youth Challenge 2025 di Seremban, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya seronok dan sangat berminat dengan sukan lawan pedang”. Demikian kata-kata Dharyn Shakira Mohd. Dharfifi, 9, yang mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul pingat emas dalam kejohanan lawan pedang Negeri Sembilan Youth Challenge 2025 yang berlangsung di Seremban, baru-baru ini.

Dia yang berkecimpung dalam bidang sukan lawan pedang sejak setahun lalu mendapat dorongan dan bimbingan daripada ibu bapa yang sering menemaninya ketika berlatih.

Dharyn Shakira berkata, dia sangat seronok bermain sukan lawan pedang dan begitu gembira kerana berjaya memenangi pertandingan tersebut walaupun baru berusia sembilan tahun.

Walaupun dalam umur yang begitu muda, Dharyn Shakira bijak membahagikan waktu belajarnya dan waktu latihan agar kedua-dua perkara itu seimbang tanpa meninggalkan pelajaran.

“Pada waktu pagi, saya akan pergi ke sekolah untuk belajar manakala pada setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 6 petang, saya akan menghadiri sesi latihan,” katanya.

Dalam pada itu, sokongan yang diberi oleh ibu bapanya turut memberi suntikan semangat kepada Dharyn Shakira, turut menjadi penyumbang atas kemenangannya itu.

Menurut bapanya, Mohd. Dharfifi Mohamad Dahlan, 38, minat Dharyn dalam sukan lawan pedang mula berkembang sejak usianya lapan tahun hasil dorongan ibunya yang memainkan peranan besar dalam memperkenalkannya kepada sukan tersebut.

“Pada waktu itu, kami sedang mencari satu aktiviti yang bukan sahaja boleh membantu dia kekal aktif, tetapi juga membentuk disiplin dan fokusnya. Ibunya tertarik dengan sukan lawan pedang kerana ia bukan sukan biasa yang ramai sertai.

“Dia (isteri) percaya bahawa sukan ini mampu memberikan kelebihan dari segi kemahiran mental dan fizikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Pelajar.

Pencapaian
Dharyn Shakira:
• Negeri Sembilan Youth Challenge 2025 – Pingat emas bawah 10 tahun
• Sunway Fencing Grand Prix 1/2025
– Pingat emas bawah 10 tahun.
• Subang Parade Fencing Challenge 2025 – Pingat perak bawah 10 tahun
• 3rd Malaysian Fencing Federation MINIME International 2024
– Pingat gangsa bawah 8 tahun.
• Allez Johor Championship 2024 – Pingat emas wanita bawah 8 tahun
• Negeri Sembilan Youth Challenge 2024 – Pingat gangsa bawah 10 tahun.
• Gamuda Fencing Challenge -Pingat gangsa bawah 8 tahun.

Dharfifi menjelaskan, selepas menghadiri satu sesi percubaan di sebuah kelab lawan pedang berhampiran, Dharyn menunjukkan minat yang mendalam terhadap sukan tersebut.

“Walaupun pada awalnya dia agak malu dan kurang yakin, latihan demi latihan membantunya membina keyakinan diri. Kami terkejut apabila dia cepat menguasai teknik-teknik asas dan menjadikan lawan pedang sebagai rutin mingguannya,” katanya.

Tambahnya, selain aspek strategi dan pergerakan pantas, sukan itu juga mendidik Dharyn tentang nilai-nilai penting seperti kesabaran, ketekunan dan semangat tidak mudah putus asa.

“Dia kini lebih berani, berdisiplin dan mampu mengawal emosi, terutamanya ketika bertanding. Saya perasan dia lebih cekap membuat keputusan di bawah tekanan serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi,” katanya.

Menurut Dharfifi lagi, beliau tidak mahu anaknya hanya tertumpu kepada gajet atau televisyen, sebaliknya mahu dia aktif secara fizikal dan seimbang dari segi emosi serta mental.

Bagaimanapun, Dharfifi mengakui bukan mudah untuk mengawal tekanan ketika berdepan lawan lebih berpengalaman, lebih-lebih lagi apabila menyertai kejohanan besar yang melibatkan peserta dari luar negara.

“Namun dengan sokongan jurulatih, latihan mental dan pendedahan berterusan kepada pertandingan, Dharyn perlahan-lahan belajar untuk lebih tenang, fokus kepada strategi, dan bangkit semula walaupun ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, ibunya Shaza Suraya, 38, berkongsi bahawa Dahryn Shakira sahaja anaknya yang meminati sukan lawan pedang itu.

Tambahnya, anak sulung daripada tiga adik beradik itu mempunyai cita-cita untuk menjadi juruterbang dan sebagai seorang ibu, dia menyokong apa sahaja yang diminati anaknya.

Shaza juga berkata, Dharyn bakal menyertai sebuah lagi pertandingan yang bakal berlangsung di Filipina pada 8 dan 9 Ogos nanti.

Katanya, persediaan yang dilakukan adalah bagi mempersiapkan fizikal dan mental anaknya ketika bertanding dalam kategori bawah 10 dan 12 tahun.

“Buat pertama kalinya, Dharyn Shakira akan berlawan dengan pelajar yang berusia bawah 12 tahun, jadi persaingan itu menjadi semakin sengit.

“Dia akan menghadiri latihan intensif selama satu minggu di Manila bersama jurulatih secara peribadi,” jelasnya. Tambah Shaza, harapan mereka sekeluarga semestinya mengharapkan kemenangan dan membawa pulang medal emas selain nama anaknya dikenali di peringkat antarabangsa.

Pemilihan acara sukan lawan pedang oleh Dharyn Shakira amat unik dan mendorong pelajar lain untuk mengikuti jejaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN