BERMULA dari gerai sederhana di Pantai Miami, Batu Ferringhi, jenama Cendol Asli Pak Haji kini terus berkembang apabila pemiliknya, Abdul Muhaimin Goh Abdullah, 48, melebarkan sayap perniagaan ke lokasi strategik baharu di Komtar Walk, George Town.
Abdul Muhaimin yang memulakan perniagaan cendol sejak tahun 2012 di Pantai Miami membuat keputusan besar dalam perniagaan itu apabila memberanikan diri membuka cawangan di Komtar Walk pada Mei lalu.
Katanya, keputusan membuka cawangan di Komtar Walk itu juga adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang memandangkan status tanah di Pantai Miami adalah milik kerajaan negeri dan tidak mempunyai jaminan kekal.


“Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir. A. Rajendran pernah maklumkan pada kami bahawa mereka tidak boleh beri jaminan tapak niaga di Pantai Miami akan kekal jika ada projek pembangunan.
“Jadi, saya buat plan B dengan buka cawangan Cendol Asli Pak Haji di Komtar Walk,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Abdul Muhaimin, semua resipi cendol yang digunakan adalah peninggalan Allahyarham bapa mertuanya, Ustaz Haji Abu Bakar, yang terkenal dengan resipi cendol asli tanpa pengawet.
“Kami buat sendiri isi cendol dan tidak letak sebarang bahan pengawet. Oleh itu, ia hanya boleh tahan untuk seminggu sahaja. Kalau sudah rosak, kami buang dan buat yang baru demi memastikan kualiti cendol adalah pada tahap terbaik,” kataya.
Cendol Asli Pak Haji
Menu: Selain cendol ada mi wantan, mi kari, mi kuali cili kering (dried chili pan mee) dan mi sup kuali
Lokasi: Komtar Walk, George Town, Pulau Pinang
Operasi: 9 pagi hingga 6 petang (Tutup Jumaat)
Abdul Muhaimin berkata, apa yang membezakan Cendol Asli Pak Haji adalah kepelbagaian bahan tambahan yang disediakan.
“Antara pilihan yang ada termasuklah kacang, jagung, pulut serta pelbagai buah-buahan seperti nangka, mangga, durian, keladi dan labu. Harga yang ditawarkan pula amat berpatutan iaitu bermula serendah RM5 untuk cendol biasa sehingga RM15 bagi variasi dengan durian berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan cawangan kedua di Komtar Walk turut mendapat sokongan daripada anak sulungnya, Muhammad Afiq Syauqi, 25, yang kini menguruskan sepenuhnya operasi di lokasi baharu itu.
Katanya, anaknya yang berpengalaman bekerja dalam bidang makanan dan minuman (F&B) sebelum ini, bersetuju mengambil alih dan memajukan cawangan Komtar Walk itu.
“Selain cendol, gerai di Komtar Walk turut menawarkan pelbagai makanan berasaskan resipi Cina Muslim seperti mi wantan, mi kari, mi kuali cili kering (dried chili pan mee) dan mi sup kuali (pan mee sup),” ujarnya yang memaklumkan, dalam masa terdekat ini, mereka juga akan memperkenalkan Hainanese Chicken Rice sebagai satu lagi menu utama di situ.
Dalam pada itu, Abdul Muhaimin berkata, semua hidangan yang dihasilkan adalah homemade hasil ‘eksperimen’ sendiri dan beliau mendedahkan, minat dan pengetahuan dalam masakan Cina diperoleh sejak kecil daripada arwah bapa kandungnya yang pernah berniaga makanan.

“Saya selalu tengok dan bantu arwah bapa saya waktu kecil. Lepas itu saya simpan resipi dia dan buat R&D ikut kesesuaian cita rasa serta keperluan halal.
“Bahan-bahan mentah seperti mi dan kuah semuanya dijamin halal serta mempunyai sijil pengesahan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Malah, pemilihan bahan dilakukan sendiri demi mengekalkan kualiti dan keaslian,” katanya.
Jelas Abdul Muhaimin, cawangan perniagaannya di Komtar Walk dibuka enam hari seminggu, dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, dan hanya tutup setiap Jumaat.
“Suasana santai serta lokasi yang strategik di Komtar Walk menjadikan kedai kami meraih tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong. Harga makanan pula bermula RM8 sehingga RM15 manakala cendol kekal pada harga bermula RM5. Harga yang dikenakan ini sebenarnya amat berpatutan demi menjaga kebajikan pelanggan,” katanya.
Bagi Abdul Muhaimin, kejayaan membuka cawangan perniagaan di Komtar Walk itu adalah hasil gabungan semangat kekeluargaan, warisan resipi dan komitmen tinggi terhadap kualiti.
“Saya bukan kejar untung besar. Saya mahu warisan ini diteruskan dan orang ramai dapat rasa cendol asli serta makanan Cina halal yang sebenar,” ujarnya.
Tambah Abdul Muhaimin, dia berharap jenama Cendol Asli Pak Haji dapat berkembang dan dikenali sebagai simbol keaslian serta kepelbagaian rasa Malaysia yang bersih, halal dan menyelerakan.










