Caj 1.6 peratus KWTBB dikecualikan mulai 1 Ogos

Caj 1.6 peratus KWTBB dikecualikan mulai 1 Ogos

tenaga
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengecualian kutipan caj 1.6 peratus Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi pengguna elektrik hijau di bawah program tenaga boleh baharu (TBB) akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), pengecualian tersebut melibatkan tiga program utama iaitu Program Green Electricity Tariff (GET), Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanisme (CREAM).

Katanya, usaha itu selaras dengan hasrat bagi merancakkan pembangunan dan integrasi tenaga boleh baharu dalam pembekalan elektrik negara.

“Langkah ini diyakini dapat menjadi insentif kepada pengguna terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70 peratus TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, langkah pengecualian tersebut juga dilihat sebagai strategi memperkukuh daya tarikan penggunaan tenaga hijau, sekali gus memperluas penyertaan sektor swasta dalam ekosistem tenaga boleh baharu negara.

“Sebelum ini, kutipan tersebut bertindak sebagai dana dalam memangkin pertumbuhan pembangunan tenaga boleh baharu di negara ini, melalui pelaksanaan mekanisme tarif galakkan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

“Sejak pelaksanaan mekanisme FiT ini, peningkatan mendadak kapasiti tenaga boleh baharu teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara dapat dilihat terutamanya daripada sumber solar, daripada 5MW pada tahun 2011 kepada 5,100MW pada masa ini,” katanya.

PETRA berkata, program FiT juga telah berjaya meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW.

“Susulan daripada jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan hasrat bagi menggalakkan penerapan TBB dalam kalangan pengguna elektrik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN