Bekas guru besar SK Sungai Kiol sumbang alat tulis

Bekas guru besar SK Sungai Kiol sumbang alat tulis

ABD. Manaf Mat (depan, kiri) menyampaikan sumbangan alat tulis kepada Nor Fazilah Abdullah sambil disaksikan sebahagian murid di Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol, Jerantut, Pahang baru-baru ini. – Utusan/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cakna dengan kesusahan keluarga serta galakan murid Orang Asli etnik Jahut belajar bersungguh, seorang bekas Guru Besar, Abd Manaf Mat, 61, baru-baru ini menyumbangkan sebanyak 90 set alat tulis kepada murid tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol, Jerantut, Pahang.

Abd Manaf memberitahu Utusan Pelajar, jiwanya sebagai ‘pendidik’ masih tetap terpahat dengan kehidupan murid Orang Asli etnik Jahut kerana pernah menjawat tugas sebagai Guru Besar SK Sungai Kiol pada 2022 sehingga bersara 10 Januari 2024.

“Saya tahu mengenai senario kehidupan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Kiol yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan sebagai petani dan buruh ladang dengan memperoleh pendapatan yang kecil tidak cukup menampung belanja anak sekolah.

“Jadi, sumbangan 90 set alat tulis yang bernilai kira-kira RM400 ini merupakan amal jariah saya untuk membantu meringankan beban keluarga masing-masing di samping keselesaan bagi murid di sini belajar,” katanya di SK Sungai Kiol, Jerantut baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Abd Manaf kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Sungai Kiol, Nor Fazilah Abdullah sambil disaksikan sebilangan murid sempena Program Kepimpinan Pemimpin Cilik di sekolah itu.

Abd. Manaf yang pernah bertugas di tiga buah sekolah murid Orang Asli di Lipis sebelum bersara di SK Sungai Kiol, Jerantut berkata, dia pernah menyumbangkan beberapa buah basikal kepada murid di situ yang mencatat kedatangan penuh dan alat tulis, jersi dan hadiah kepada sekolah itu sempena kejohanan sukan tahunan serta program kokurikulum dan koakademik.

“Sumbangan ini merupakan wang pencen bulanan saya terima sebagai galakan semata-mata untuk murid Orang Asli di sini belajar bersungguh sehingga ke peringkat tinggi dan membuktikan kecemerlangan akademik dan kokurikulum sebaris dengan murid sekolah lain,” katanya.

Sementara itu, Nor Fazilah melahirkan penghargaan terima kasih kepada bekas Guru Besar itu kerana banyak menyumbang untuk keperluan murid Orang Asli etnik Bateq di situ belajar dengan lebih selesa.

“Sumbangan alat tulis dan sebagainya cukup bermakna bagi murid di sini dan masing-masing menunjukkan wajah ceria dan bertambah semangat untuk belajar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN