BARCELONA: Roony Bardghji menjadi rekrut baharu Barcelona apabila bekas sayap kanan FC Copenhagen itu menandatangani kontrak sehingga 2029.
Bagaimanapun, juara La Liga itu tidak mendedahkan nilai perpindahan pemain berusia 19 tahun itu, namun difahamkan Barca membayar sekitar 2.5 juta euro (RM12.4 juta).
Bardghji yang juga pemain skuad bawah 21 tahun Sweden, menjaringkan 15 gol dalam 84 penampilan bersama Copenhagen sejak dinaikkan ke skuad utama pada musim 2021/2022.
Bagaimanapun, kariernya terjejas selepas mengalami kecederaan lutut serius pada Mei 2024, menyebabkan dia berehat hampir setahun sebelum kembali beraksi pada Mac lalu.
Bardghji menjadi pemain baharu kedua kedua Barcelona pada jendela perpindahan musim panas ini selepas gergasi Sepanyol itu mendapatkan penjaga gol Joan Garcia dari Espanyol.
Pemain muda itu dijangka menyertai skuad Barca untuk aksi pramusim sebelum pengendali Hansi Flick membuat keputusan sama ada untuk menyenaraikannya dalam skuad utama musim depan. – AGENSI