Angkat karya-karya P. Ramlee ke pentas teater

Angkat karya-karya P. Ramlee ke pentas teater

BARISAN pelakon dan produksi bergambar selepas pementasan teater Madu Tiga Madu di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Tan Sri P. Ramlee tidak memerlukan pengenalan panjang lebar kerana setiap bait lagu serta dialog dalam filem-filem beliau sentiasa meresap ke dalam jiwa segenap peringkat masyarakat sehingga kini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, karya atau filem-filem arahan seniman agung legenda itu merentasi zaman, walaupun sudah berusia puluhan tahun, namun sentiasa segar dalam ingatan masyarakat dan tidak pernah jemu berulang kali ditonton.

P. Ramlee sebagai pengarah, pelakon, penulis skrip dan komposer telah menghasilkan banyak filem dan lagu dan karya-karyanya seperti Hang Tuah, Anakku Sazali, Ibu Mertuaku dan Tiga Abdul telah mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk di Festival Filem Asia Tokyo dan Festival Filem Antarabangsa Berlin.

Walaupun sudah lebih 50 tahun P. Ramlee meninggalkan kita, namun jasa beliau sentiasa dikenang dalam memberi sumbangan cukup besar terhadap industri seni nusantara. Saya sendiri boleh dikatakan ratusan kali sejak kecil tidak pernah jemu menonton karya agung P. Ramlee khususnya filem komedi di zaman studio Jalan Ampas.

Baru-baru ini, salah satu karya terbaik P. Ramlee iaitu Madu Tiga diangkat ke pentas teater yang diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis di sini. Karya popular yang sehingga kini tidak pernah bosan untuk ditonton itu berkisarkan mengenai ketiga-tiga isteri Jamil iaitu Latifah, Hasnah dan Rohani yang sarat dengan elemen komedi yang mencuit hati. Ia bukan saja menghibur malah mengangkat isu-isu seperti poligami, kejujuran dalam perkahwinan serta peranan wanita dalam institusi kekeluargaan.

Persembahan teater Madu Tiga  arahan Amran Nasrudin pada 27 hingga 29 Jun itu berjaya menarik perhatian penonton selain cukup teruja dengan lakonan mantap daripada barisan pelakon khususnya Jibam Ramlee yang memegang peranan sebagai Jamil.

Selain wajah, karakter dan suara yang persis P. Ramlee, Jibam atau nama sebenarnya Mohd.
Irwan Zakaria,43, itu berjaya memberikan persembahan yang cukup baik bersama pelakon lain iaitu Najua Nasir P. Ramlee, Keena Mentor, Datuk Imuda, Abon, Mubarak Majid, Yaakob Abd. Aziz, Pinat Al Edros dan ramai lagi.

Pada malam kedua, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid turut berkenan berangkat menonton pementasan berkenaan. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni & Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah. Ia dianjurkan Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (Pemekar), JKKN Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri serta sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Pemen­tasan tersebut merupakan kali kedua selepas di Kuala Lumpur pada 2023 dan melihat kepada kejayaan teater Madu Tiga Madu itu boleh menjadi pemangkin kepada lebih banyak karya atau filem P. Ramlee diangkat semula ke pentas teater.

Amran yang juga Pengerusi Pemekar berkata, pementasan itu diinspirasikan daripada filem P. Ramlee dan ia mendapat maklum balas cukup baik sepanjang tiga hari persem­bahan.

Beliau juga mempunyai perancangan untuk mengangkat lebih banyak karya P. Ramlee ke pentas teater dengan antaranya seperti pementasan Labu Labi dan Sarjan Hassan bergantung kepada sokongan peruntukan daripada mana-mana pihak yang sedia berkolaborasi.

Sementara itu, Jibam berkata, dia yang membawa watak utama sebagai Jamil bersama para pelakon lain telah memberikan persembahan terbaik dalam menjayakan pementasan teater Madu Tiga Madu ini.

“Alhamdulilah, sambutan dan maklum balas yang diterima cukup baik. Saya sebelum ini, pernah terlibat dalam bidang nyanyian dan teater ini. Alhamdulilah Allah SWT kurniakan saya seperti ini. Saya mula berjinak-jinak sebagai ‘klon’ P. Ramlee ini sebenarnya sudah agak lewat ketika berusia 40 tahun.

Pada masa itu, saya pernah berjanji dengan Fairuz Misran (Allahyarham) yang menyuruh saya menjadi ‘klon’ P. Ramlee ini dan saya cuba melakukan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN