LONDON: Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz mara ke separuh akhir Wimbledon untuk tahun ketiga berturut-turut apabila juara bertahan itu menewaskan Cameron Norrie manakala Aryna Sabalenka terselamat daripada kekalahan mengejut.
Alcaraz mengambil masa 99 minit untuk menang 6-2, 6-3, 6-3 pada aksi paling dominannya dalam kejohanan tahun ini apabila sebelum ini dia kehilangan empat set ekoran persembahan tidak konsisten sepanjang perjalanannya ke suku akhir.
Namun, Alcaraz kembali ke prestasi terbaiknya di suku akhir apabila meledak 39 pukulan kemenangan menentang Norrie yang berada di ranking ke-61 dunia untuk bertemu pilihan kelima dari Amerika Syarikat (AS), Taylor Fritz di separuh akhir kejohanan.
“Dapat bermain satu lagi separuh akhir di Wimbledon sangat istimewa. Saya sangat gembira dengan cara saya bermain menentang lawan yang sukar,” kata Alcaraz.
Fritz menewaskan pilihan ke-17 dari Rusia, Karen Khachanov 6-3, 6-4, 1-6, 7-6 (7/4) untuk mara ke separuh akhir Wimbledon pertamanya.
Sementara itu, bagi saingan wanita menyaksikan Sabalenka bangkit daripada hampir tersingkir untuk mara ke separuh akhir dengan kemenangan 4-6, 6-2, 6-4 menentang pemain Jerman, Laura Siegemund.
Sabalenka kekal sebagai satu-satunya pemain wanita dari enam pilihan utama yang masih bertahan dalam kejohanan ini selepas dua minggu penuh kejutan.
“Itu memang ujian sebenar. Saya perlukan masa untuk bertenang dan pulih selepas ini,” kata Sabalenka. – AFP