LONDON: Juara bertahan Carlos Alcaraz dan pilihan utama wanita, Aryna Sabalenka bakal mencuri tumpuan hari pertama aksi suku akhir Wimbledon hari ini.
Alcaraz bakal berdepan wakil tuan rumah, Cameron Norrie selepas bangkit menewaskan Andrey Rublev dalam pusingan keempat.
“Dia pasti akan guna sokongan penonton sebagai kelebihan, saya perlu kuat dari segi mental dan fokus sepenuhnya,” kata Alcaraz.
Pemain Sepanyol berusia 21 tahun itu kini memburu kejuaraan Wimbledon ketiga berturut-turut untuk menyertai kelompok legenda seperti Federer dan Djokovic.
Dalam saingan wanita, Sabalenka yang masih belum pernah menjulang trofi di All England Club akan menentang pemain ranking ke-104 dunia, Laura Siegemund dari Jerman.
“Kami semua berkongsi impian yang sama iaitu memegang trofi dan menikmati detik kemenangan itu,” kata Sabalenka.
Bagaimanapun, Siegemund mengakui Sabalenka adalah antara pemain paling agresif dan beliau tidak punya apa-apa untuk kalah dalam penampilan suku akhir Grand Slam keduanya.
Aksi suku akhir lain menyaksikan Taylor Fritz yang mara selepas menang mudah ke atas Jordan Thompson, akan menentang Karen Khachanov yang pernah menewaskannya dua kali.
Sementara itu, pertembungan Anastasia Pavlyuchenkova dan Amanda Anisimova dijangka sengit, dengan pemain Rusia itu membuat penampilan Grand Slam ke-65 dalam kariernya. – AGENSI