PETALING JAYA: Liga A1 Semi-Pro terus menjadi tumpuan apabila beberapa kelab masih mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) untuk menyertai saingan musim ini, walaupun sepak mula dijadual berlangsung pada 2 Ogos depan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui sambutan terhadap liga itu sangat memberangsangkan, malah tidak menolak kemungkinan untuk membuka dua lagi slot baharu kepada pasukan yang berminat.
“Kita sudah jangkakan Liga A1 Semi-Pro akan mendapat sambutan hangat. Buat masa ini, saya sedang mempertimbangkan cadangan menambah bilangan pasukan kerana ada beberapa kelab berkualiti yang menawarkan diri,” ujarnya.
Antara pasukan yang dikenal pasti menunjukkan minat termasuk KL Rovers dan Bukit Tambun FC, namun keputusan muktamad akan ditentukan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah AFL yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Tambah Yusoff, faktor utama yang mendorong kepada penambahan slot adalah kerana kehadiran empat pasukan ‘feeder’ Liga Super dalam saingan musim ini, iaitu Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Selangor 2, Imigresen FC II dan Kelantan WTS FC.
Menurutnya, keempat-empat pasukan itu tidak layak untuk dinaikkan ke Liga Super meskipun memenangi Liga A1 Semi-Pro, justeru hanya 12 pasukan yang benar-benar bersaing untuk promosi ke liga lebih tinggi.
“Empat pasukan ini memang tidak boleh meraih slot ke Liga Super, jadi bagi memastikan saingan lebih kompetitif, kita pertimbang tambah dua pasukan lagi,” jelas beliau.
Yusoff turut menekankan bahawa sebarang keputusan perlu dibuat segera memandangkan AFL kini berada dalam fasa akhir persiapan sebelum tirai saingan dibuka secara rasmi.
“Saya percaya penambahan ini akan memberi impak positif terhadap liga, namun kita juga perlu melihat kepada kesediaan logistik dan masa yang semakin suntuk,” jelasnya.-UTUSAN