PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027.
KBS dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Abdul Rashid itu berkuatkuasa hari ini dan tanggungjawab utamanya adalah mengetuai sekretariat yang berperanan untuk menyelaras segala persiapan bagi penganjuran temasya dwi tahunan itu.
“Abdul Rashid memiliki pengalaman luas dalam dunia sukan negara dengan pembabitan secara langsung selama lebih 37 tahun dan memegang pelbagai jawatan dalam MSN sebelum bersara sebagai Ketua Pengarah MSN pada April 2025.
“Beliau juga memainkan peranan penting membantu MASOC dalam bidang pengurusan ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2017,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, KBS turut berkata, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-15 yang bakal berlangsung pada 2027 itu telah ditubuhkan menerusi keputusan Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu.
Kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2017, di mana Kontinjen Malaysia berjaya menamatkan kempen sebagai juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa.
Dengan penganjuran edisi Sukan SEA 2027, Malaysia bakal menjadi tuan rumah temasya sukan berprestij ini buat kali ketujuh selepas edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.