PETALING JAYA: Selepas dikejutkan rakan senegara di Terbuka Jepun minggu lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali menemui sentuhan kemenangan dalam aksi pembukaan Terbuka China, sebentar tadi.
Beregu No. 2 dunia itu menebus kehampaan lalu dengan menewaskan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-19, 21-15 dalam masa 41 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Kemenangan tersebut hadir tepat pada masanya selepas kekalahan mengejut kepada gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di Tokyo.
Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan kedua kejohanan tampil lebih tenang kali ini dan melunaskan dendam kekalahan kepada pasangan No. 19 dunia itu yang menyingkirkan mereka di pusingan pertama Terbuka Indonesia bulan lalu.
Naib juara edisi 2023 itu dijangka tidak berdepan laluan sukar di pusingan kedua apabila menentang sama ada Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis atau gandingan Kanada, Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila terkandas awal selepas tewas 21-18, 22-24, 15-21 kepada pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dalam pertarungan 69 minit. – UTUSAN