6 wanita sesat di hutan Tanjung Tuan selamat

6 wanita sesat di hutan Tanjung Tuan selamat

ANGGOTA bomba dari BBP Telok Kemang dan BBP Masjid Tanah membantu menurunkan enam wanita yang sesat semasa mendaki di Tanjung Tuan, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Enam wanita berusia lingkungan 20-an berjaya diselamatkan selepas sesat ketika menjalani aktiviti mendaki di kawasan hutan berhampiran Rumah Api Tanjung Tuan, di sini semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada pukul 1.40 petang.

Katanya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah bersama bantuan anggota dari BBP Telok Kemang segera digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 33 kilometer.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar terdapat enam orang wanita yang sesat ketika sedang melakukan aktiviti mendaki.

“Kesemua mangsa berjaya ditemui terlebih dahulu oleh pasukan BBP Telok Kemang sebelum ketibaan BBP Masjid Tanah,” katanya di sini hari ini.

Katanya, operasi menyelamat dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Zaidi Kadiron.

“Kesemua mangsa berjaya diturunkan dengan selamat oleh kedua-dua pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan tiada kecederaan dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.50 petang.

“Operasi melibatkan kekuatan seramai 16 anggota serta tiga aset logistik termasuk dua jentera FRT dan satu kenderaan utiliti jenis Navara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN