Baru-baru ini, Kelab Guru dan Staf SK Batu Melintang, Jeli menganjurkan Hari Keluarga di Permai Beach Resort, Bachok Kelantan.
Program tersebut mengumpulkan 52 buah keluarga dengan kekuatan anggota seramai lebih kurang 200 orang peserta bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli kelab dan staf yang terdiri daripada guru dan ahli kumpulan pelaksana SK Batu Melintang.
Program ini juga dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk berinteraksi dalam suasana santai dan harmoni di luar waktu bekerja atau persekolahan.
Guru Besar SK Batu Melintang, Laila Ismail berkata, program berkenaan sebagai salah satu wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara warga sekolah dan ahli keluarga selain dapat menghilangkan rasa penat dengan tugas dan kerja hakiki di sekolah.
“ Aktiviti riadah di hujung minggu sebegini sangat perlu sebagai salah satu cara pengurusan stress di tempat kerja selain dari menyantuni keluarga pada hari minggu. Ia juga dapat mengeratkan hubungan sesama kita dan juga dapat berkenal-kenalan dengan lebih rapat lagi keluarga besar sekolah kita”, ujar beliau sewaktu ucapan perasmian program ini.
Pelbagai aktiviti telah dirancang dengan baik oleh jawatankuasa pengelola kelab. Selain daripada acara melibatkan guru dan staf, sukaneka keluarga turut diadakan bagi mewujudkan suasana meriah dan gembira sepanjang dua hari berkampung di sini.
Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja menceriakan suasana, malah dapat memupuk kerjasama dan kemesraan antara ahli kelab. Aktivit BBQ menjadi aktiviti yang dinantikan kerana ia memberi peluang untuk peluang untuk berkongsi cerita, bertukar-tukar pendapat dan menyelesaikan sebarang perselisihan faham yang pernah berlaku.
Semangat kekeluargaan jelas terpancar dalam gelak ketawa dan senyuman yang terukir sepanjang hari berada di sini.
Selaku pengerusi kelab merangkap penyelaras program, Mohd Tarmizi Harun menzahirkan rasa terharu dan gembira terhadap sambutan dan sokongan padu seluruh warga SK Batu Melintang. Ia merupakan program julung yang dianjurkan olehnya mendapat sambutan luar biasa.
“ Terima kasih buat semua warga kelab dan staf yang telah memberi Kerjasama dan sokongan padu terhadap program ini. Objektif kelab guru dan staf adalah sedaya upaya merapatkan hubungan sesama ahli tetapi sebagai satu platform santai, bertukar idea dan beriadah secara sihat, “ katanya .
Hari Keluarga bukan sahaja menjadi wadah hiburan, malah ia membawa mesej yang besar tentang pentingnya hubungan kekeluargaan dan organisasi. – UTUSAN