JOHOR BAHRU: Seramai 16 pelajar mengalami kecederaan apabila van sekolah yang dinaiki terbalik akibat terlanggar lubang lurang atau ‘manhole’ yang tidak bertutup di Jalan Abdul Samad, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian itu kira-kira pukul 7.30 pagi, terdapat mangsa yang patah tangan dan jari dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd. Khaled dan enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.
“Pagi ini saya ke HSA bagi menziarahi pelajar yang terlibat dalam kemalangan van sekolah yang terbalik di Jalan Abdul Samad menghala ke SMK Mohd. Khaled awal pagi tadi.
‘Seramai 16 mangsa terlibat mengalami kecederaan termasuk patah tangan dan jari. Insiden ini amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan anak-anak kita yang masih di bangku sekolah,” katanya ditemui selepas melawat mangsa di HSA, di sini
Aznan memberi jaminan bahawa semua pelajar yang terlibat akan diberi rawatan terbaik.
“Pihak berkuasa juga sedang menjalankan siasatan terperinci tentang insiden ini bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil demi menjamin keselamatan pelajar pada masa akan datang.
“Sama-sama kita doakan agar semua murid yang cedera segera sembuh dan dipermudahkan segala urusan mereka serta keluarga,” katanya. – UTUSAN