SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) perlu segera menerokai kecerdasan buatan (AI) berasaskan syariah dalam usaha mengangkat dan memartabatkan pengajian Islam di universiti berkenaan.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, sebagai universiti yang membawa misi untuk memartabatkan pengajian Islam berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, USIM perlu terus memperkukuh jaringan pemegang taruh sedia ada serta merintis peluang baharu dalam menarik minat pelajar-pelajar masa depan.
“Pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan impak teknologi disruptif yang terus mengubah landskap pendidikan tinggi. Oleh itu, USIM harus segera menerokai apa yang dikatakan AI (kecerdasan buatan) syariah.” katanya sewaktu berucap pada Sambutan 25 Tahun USIM di Dewan Tuanku Canselor, USIM , Nilai, semalam.
Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berkenaan hadir pada majlis berkenaan
Hadir sama, Pro-Canselor USIM, Tunku Zain Al-Abidin ibni Tuanku Muhriz.
Sharifudin menambah, USIM juga tidak boleh memandang ringan soal penarafan universiti (university ranking).
“Sama ada kita bersetuju atau tidak, kedudukan dalam senarai penarafan dunia memberi kesan langsung kepada kemasukan pelajar khususnya pelajar antarabangsa, serta penjenamaan institusi kita sendiri.
“Oleh itu, satu penggemblengan tenaga secara menyeluruh diperlukan melibatkan aspek penyelidikan, penerbitan, kualiti pengajaran, dan kebolehpasaran graduan bagi memastikan USIM terus melonjak ke tahap yang membanggakan dan berada dalam satu barisan yang sama dengan universiti-universiti lain, “katanya.
Sementara itu, katanya, selepas 25 tahun, USIM bukan lagi sekadar universiti yang membangun, tetapi telah menjadi institusi rujukan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“USIM bukan sahaja menjadi lambang kejayaan transformasi pendidikan Islam moden, tetapi juga telah berkembang menjadi universiti berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang unggul di peringkat serantau dan global,.
Beliau berkata, sehingga kini, USIM telah melahirkan lebih 37,000 alumni yang kini mencorak pelbagai sektor profesional di dalam dan luar negara.
“Dalam bidang penyelidikan, lebih 2,476 projek dengan peruntukan melebihi RM102 juta telah dilaksanakan sejak tahun 2000, membuktikan kepercayaan pelbagai agensi dalam dan luar negara terhadap keupayaan penyelidikan USIM,” katanya. – UTUSAN