3 saintis sertai mesyuarat Nobel Laurette Lindau ke-74 di Jerman

Tiga saintis muda sertai mesyuarat Nobel Laurette Lindau ke-74 di Jerman

Dr MAK Kit Kay, Dr Ana Masara dan Nur Diyan Mohd Ridzuan akan menyertai mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 di Jerman bulan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia sekali lagi mencipta nama di pentas sains antarabangsa apabila tiga saintis muda cemerlang terpilih menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang berprestij di Jerman pada bulan ini.

Mesyuarat itu akan menghimpunkan pemenang Anugerah Nobel bersama saintis generasi baharu.

Dijadualkan berlangsung bermula pada 29 Jun hingga 4 Julai 2025, mesyuarat tahunan itu akan memfokuskan kepada bidang kimia dan dijangka menghimpunkan sekitar 35 penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda daripada 84 buah negara.

Ketiga-tiga mereka yang terpilih ialah calon ijazah doktor falsafah (PhD) dalam Sains Gunaan melalui Penyelidikan Kimia Gunaan dari Universiti Teknologi Petronas, Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30,.

Turut terpilih ialah Pensyarah Kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34,dan Pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Dr. Mak Kit Kay, 33,

Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan pada tahun 1951, menggalakkan dialog antara generasi, disiplin sains dan budaya selama lebih 70 tahun.

Mesyuarat tahunan itu memberi fokus kepada sesuatu disiplin secara bergilir-gilir dan berperanan sebagai platform unik bagi saintis muda yang berpotensi untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti syarahan, perbincangan panel dan sesi santai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, menyifatkan penyertaan tersebut sebagai satu peluang transformatif untuk para saintis muda Malaysia.

“Penyertaan tiga saintis muda ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau adalah bukti keupayaan bakat tempatan kita bersaing di pentas antarabangsa. Ini selaras dengan komitmen MOSTI dalam membina generasi saintis masa hadapan melalui pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Kami percaya bahawa interaksi dengan pemikir dan penerima Hadiah Nobel akan memperluas horizon penyelidik muda negara, dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi.” ujarnya.

Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr. Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen FASc. menjelaskan, usaha berterusan pihaknya menghantar saintis muda Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau setiap tahun adalah bukti komitmen ASM dalam melahirkan bakat saintifik bertaraf dunia.

“Saintis muda kita berpeluang memperkenalkan penyelidikan dan kepakaran mereka dalam mesyuarat ini, yang mungkin dapat membuka peluang kerjasama bersama saintis di fasiliti bertaraf dunia.

“Perlu dinyatakan bahawa kebanyakan saintis-saintis ternama dunia pernah menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau pada peringkat awal kerjaya mereka, termasuk Jaringan Pakar ASM, ” ujar beliau.

Program berdurasi seminggu itu memberi peluang kepada para peserta berinteraksi dengan Penerima Hadiah Nobel dalam pelbagai persekitaran rasmi dan tidak rasmi.

Format program tersebut antaranya membabitkan syarahan oleh Penerima Anugerah Nobel yang membentangkan penyelidikan perintis mereka, perbincangan untuk dialog interaktif, serta perbincangan panel yang menyentuh isu-isu global yang mendesak.

Program tersebut turut menyediakan pelbagai peluang menjalinkan rangkaian, membolehkan saintis muda berkongsi penyelidikan dan membina hubungan kerjasama bersama rakan serta mentor daripada seluruh dunia.

Sejak tahun 2004, ASM sebagai badan pencalon rasmi, telah mengenal pasti dan mencalonkan saintis yang berpotensi setiap tahun untuk dinilai oleh Panel Semakan Saintifik Mesyuarat Nobel Laureate Lindau. Setakat ini seramai 89 saintis Malaysia telah menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau sehingga hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN