Tiga kelab sah terima lesen kebangsaan

Tiga kelab sah terima lesen kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: First Instance Body (FIB) hari ini mengesahkan Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC telah diberikan Lesen Kebangsaan penuh selepas berjaya memenuhi segala keperluan dokumen kewangan seperti yang ditetapkan oleh Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, ketiga-tiga kelab tersebut sebelum ini telah diluluskan lesen secara bersyarat dan diberi tempoh sehingga 31 Mei 2025 untuk mengemukakan dokumen kewangan tambahan selaras dengan Artikel 8 (l) peraturan berkenaan.

“FIB hari ini mengesahkan bahawa semua dokumentasi tambahan telah diterima daripada ketiga-tiga kelab tersebut sebelum tarikh akhir penyerahan.

“Setelah penelitian dan penilaian rapi dibuat terhadap dokumen yang dikemukakan, FIB bersetuju untuk memberikan Lesen Kebangsaan penuh kepada Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, keputusan itu sekaligus melayakkan ketiga-tiga kelab berkenaan untuk bersaing dalam saingan Liga Super musim 2025-2026.

FIB turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga kelab tersebut sepanjang proses pelesenan berlangsung.

Dalam pada itu, FIB turut memaklumkan sebanyak 12 kelab lain sebelum ini telah menerima Lesen Kebangsaan lebih awal termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.

Turut menerima lesen ialah dua kelab dari Liga A1 AFL iaitu Melaka FC dan Imigresen FC yang berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan Luar Biasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN