Kemajuan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kebolehpasaran yang tinggi merupakan antara tarikan utama bagi murid yang ingin menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan
Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Didorong oleh minat serta kesedaran terhadap prospek kerjaya yang luas, ramai murid kini melihat bidang STEM dan TVET bukan sekadar subjek akademik semata-mata, sebaliknya sebagai laluan strategik untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.
Menurut ketua pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz, Alor Star, Khairun Iman Khairun Nizam, 17, pengetahuan dalam bidang STEM dan TVET amat penting bagi murid terutamanya dalam mendepani cabaran dunia digital masa kini.
Menurutnya, salah satu sektor di bawah bidang STEM yang sedang berkembang pesat ialah teknologi AI yang berupaya diaplikasikan merentasi pelbagai sektor seperti kesihatan, automotif dan pendidikan.
“Jika kami belajar tentang pengaturcaraan, kejuruteraan atau teknologi digital dari sekarang, kami bukan sahaja boleh faham cara AI berfungsi, tetapi mungkin boleh cipta sesuatu yang bermanfaat pada masa depan,” katanya.
Tambahnya, bidang TVET pula menyediakan latihan secara praktikal yang sangat berguna khususnya kepada murid yang kurang cenderung kepada pembelajaran berasaskan teori.
“Dengan TVET, kami boleh belajar kemahiran yang betul-betul digunakan dalam industri seperti robotik, automasi dan pembangunan sistem pintar,” katanya.
Sementara itu seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz, Alor Star, Lim Jun Yik, 17, berkata, bidang STEM dan TVET menawarkan prospek kerjaya yang luas yang menjanjikan pendapatan lumayan.
Katanya, murid yang mempunyai pengetahuan dalam kedua-dua bidang tersebut akan menjadi tenaga kerja paling dicari dalam dekad akan datang.
“Saya bercita-cita menjadi jurutera perisian, saintis data atau jurutera AI. Saya yakin perkembangan pesat dalam industri digital akan menyebabkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi terus meningkat pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Muhammad Raihan Nazmi Mohamad Nizam, 16, kesedaran terhadap potensi bidang STEM dan TVET menjadi pendorong utama untuknya memilih subjek Sains Komputer di sekolah.
Katanya, subjek tersebut memberikan asas kemahiran yang boleh dijadikan landasan kerjaya yang lebih baik pada masa hadapan.
“Saya rasa saya berada di jalan yang betul. Murid yang mengambil mata pelajaran STEM dan TVET mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
“Semua teknologi masa kini seperti kereta pandu sendiri, AI dalam telefon pintar dan sistem keselamatan siber dibina oleh individu yang bermula dengan asas dalam Sains Komputer,” katanya.
Melalui Dasar TVET Negara 2030, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan kerangka TVET sebagai strategi penting untuk membangunkan bakat masa hadapan serta memperkukuh peranannya dalam memenuhi keperluan tenaga kerja industri.
Malah, menurut Institut Statistik Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), negara kita telah menghasilkan 43.5 peratus graduan dalam bidang STEM pada tahun 2022, menjadikan Malaysia antara negara yang mencatat peratusan tertinggi graduan STEM di dunia.
Selaras dengan dasar tersebut, SMK Tunku Abdul Aziz baru-baru ini menganjurkan Bulan STEM dan TVET dengan objektif meningkatkan minat murid terhadap subjek Sains dan Matematik serta bidang teknikal dan vokasional.
Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz, Roslan Md. Desa berkata, program tersebut bukan sahaja dapat menambah pengetahuan murid dalam bidang berkaitan, malah turut membantu mewujudkan suasana pembelajaran luar bilik darjah yang lebih menarik.
“Pihak sekolah amat peka terhadap kepentingan ini dan percaya bahawa pendedahan awal seperti ini mampu memberi kelebihan kepada murid untuk menyesuaikan diri dengan kehendak industri semasa.
“Murid juga kini semakin menghargai bidang STEM sebagai kunci kejayaan dalam kerjaya. Malah, mereka faham bahawa penguasaan ilmu ini boleh membantu mereka bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN