PETALING JAYA: Bekas tonggak pertahanan Sabah FC, Park Tae-su menyelar sikap tidak profesional pasukan itu berkenaan status kontraknya.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Korea Selatan itu akur dengan keputusan Sabah FC yang tidak menyenaraikan namanya pada musim depan.
Pemain berusia 35 tahun itu, turut menitipkan nasihat kepada pengurusan Sang Badak supaya bersikap lebih profesional apabila berurusan dengan pemain.
“Terima kasih Sabah FC, walaupun pahit saya tetap telan kerana ini adalah sebahagian ataupun lumrah bola sepak. Cuma saya harap di masa depan, kelab boleh bersikap lebih profesional dalam melayan kami sebagai pemain, kami juga manusia.
“Saya masuk Sabah FC dengan cara yang baik di 2019, harapan saya untuk keluar dari pasukan juga dengan cara yang sama. Tapi dari bulan Januari, janji untuk duduk semeja dengan saya berbincang.
“Masa demi masa saya tunggu kerana setia dan sayang saya dengan pasukan (tidak mencari peluang/pasukan lain). Tidak ada jawapan cuma, Nanti kita jumpa. Bila musim sudah tamat, saya tanya lagi masih sunyi sepi,” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story miliknya.
Tae-su menjadi sebahagian daripada 13 orang pemain yang dilepaskan Sang Badak selepas tamat Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Selain Tae-su, Sabah turut melepaskan Irfan Fazail, Saddil Ramdani, Telmo Castanheira dan Haris Stamboulidis.
Ada dalam kalangan mereka sudah bersama kita selama bertahun-tahun dan sumbangan mereka cukup bermakna kepada kelab.
“Kami amat menghargai segala-galanya. Anda akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga Sabah FC. Selamat Maju Jaya!,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selain pemain itu, Sabah turut memilih tidak mengekalkan Hanafie Tokyo, Ummareng Bacok, Ramzi Mustakim, Nureizkhan Isa, Hamran Peter, Danial Haqim dan Sahrizan Saidin bagi mengharungi saingan musim depan.