Sukan SK Felda Kota Gelanggi Dua, bakat, ketrampilan murid

Sukan Tahunan SK Felda Kota Gelanggi Dua, tampil bakat dan ketrampilan murid

RUMAH Temenggong muncul tempat pertama setelah pesertanya memenangi banyak acara semasa Kejohanan Sukan Tahunan Ke-29 di Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBIASAAN setiap tahun kejohanan sukan merupakan acara utama dalam kalendar aktiviti kokurikulum sekolah dan sentiasa dinanti-nantikan oleh kalangan pelajar SK Felda Gelanggi Dua .

Menjelang kejohanan, guru dan pelajar paling sibuk menyiapkan peralatan, padang, hiasan rumah sukan termasuk kostum perarakan ketika pembukaan atau penutupan rasmi, hadiah serta keperluan lain supaya nampak meriah dan mengujakan kalangan tetamu, ibu bapa dan penjaga.

Persiapan itu juga turut dibantu oleh anggota kumpulan pelaksana sekolah, petugas kebersihan malahan bagi sesetengah tempat (sekolah) khususnya di kampung dan Felda, ahli jawatan kuasa

Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) bersama ibu bapa atau penjaga pelajar turut menyingsing lengan turun padang membantu guru menghias rumah sukan dan sebagainya.

Betapa meriahnya kejohanan sukan sama ada sekolah di bandar, luar bandar, pedalaman hatta sekolah yang terdiri daripada murid Orang Asli di pos luar bandar amat komited dan mengambil bahagian dengan menunjukkan semangat kesukanan walaupun ada yang tidak memperoleh hadiah.

Baru-baru ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang mengadakan program Kejohanan Sukan Tahunan Ke-29 yang kebiasaannya direncanakan setiap awal tahun membabitkan penyertaan seramai 352 orang murid dan 33 orang guru termasuk anggota kumpulan pelaksana sekolah.

Sehari sebelum kejohanan, jawatan kuasa sukan tersebut memulakan acara saringan dan juga dikenali sukan tara bagi memilih peserta ke pusingan akhir kejohanan hari puncak berikutnya termasuk acara lumba lari pelbagai kategori kelas (tahun) murid berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Mat Romli Norman berkata, aktiviti sukan mempunyai banyak kepentingan kepada murid, iaitu antaranya meningkatkan disiplin, kesihatan fizikal dan mental, serta kemahiran pengurusan masa.

“Sukan juga membantu membina keyakinan diri, pemikiran positif dan keupayaan untuk berfikir secara rasional sekali gus dapat mengurangkan tekanan dan kebimbangan serta meningkatkan mood dan kesejahteraan mental.

“Melalui sukan, murid belajar mematuhi peraturan, menghormati arahan pertandingan atau latihan dan diri sentiasa berdisiplin antara elemen untuk mencapai kemenangan. Walaupun tewas dalam sesuatu acara, tetapi peserta atau murid tetap berpuas hati serta berazam untuk berlatih bersungguh untuk mengejar kejayaan pada kejohanan tahun akan datang,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Rhafida Mohamad Shariffudin berkata, kejayaan serta kemeriahan sukan sekolah merupakan hasil kerjasama pentadbir, semua guru, anggota kumpulan pelaksana dan Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sebelum dan semasa kejohanan berlangsung.

“Selain guru, ahli jawatan kuasa PIBG turut membantu pengurusan padang dan menjadi pengadil dalam beberapa acara malahan turut menyertai acara jemputan, iaitu lumba lari.

“Kemeriahan sukan di sekolah Felda ini apabila murid (peserta) melibatkan diri dalam acara perbarisan antara rumah sukan, diwarnai pula dengan kostum (pakaian) yang berwarna-warni termasuk bendera berkonsepkan nama rumah sukan masing-masing diiringi empat maskot rumah sukan yang dinamakan ‘Adiwira’ berpakaian watak sebuah filem animasi,” katanya.

Selanjutnya Rhafida berkata paling kemuncak, iaitu acara penutupan rasmi selepas kejohanan berakhir telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PIBG, Zakaria Muhamad Zulkipli serta bersama

Guru Besar melakukan penyampaian hadiah kepada pemenang acara kejohanan itu.

 

Setiausaha Sukan Sekolah, Azlan Shah Abdul Rahman berkata, sebanyak 40 acara dipertandingkan dengan menawarkan 187 butir pingat semasa kejohanan sukan sekolah itu.
“Tempat pertama bagi acara yang dipertanding berasaskan pungutan pingat, iaitu Rumah Temenggong, Rumah Bendahara (tempat kedua), Rumah Laksamana (tempat ketiga) dan keempat, Rumah Syahbandar masing-masing menerima hadiah hamper daripada PIBG sekolah,” katanya.

Azlan Shah yang juga guru bahasa Melayu berkata, Jawatan Kuasa Sukan Tahunan kali Ke-26 tahun itu memilih Muhammad Nasif Harraz Mat Haron, 12, sebagai Olahragawan, manakala Nur Hanin

Hanania Mohd. Hamizan, 12, sebagai Olahragawati serta Olahragawan Harapan (Lelaki) ialah oleh Aiman Iman Mohamad Alias, 11, dan Bunga Zahirah Mohd. Khaidrisham dipilih sebagai Olahragawati Harapan (Perempuan).

“Jawatan Kuasa Sukan Tahunan bersyukur kerana keadaan cuaca mengizinkan bagi membolehkan semua acara berjalan dengan lancar di samping turut disantuni kalangan ibu bapa yang hadir memberikan sokongan kepada anak masing-masing,” katanya.

Bagi Muhammad Nasif Harraz, dia menyertai lima acara sukan dalam kejohanan itu dan memenangi tempat pertama empat acara dan satu perak.

“Sejak di Tahun Satu, saya mula menyertai acara sukan dan amat berminat dengan acara lumba lari 100 meter, 200 meter, lari berganti-ganti dan acara padang.

“Saya berharap penyertaan sukan ini dapat memperoleh markah sekali gus sebagai platform melanjutkan pelajaran di sekolah sukan peringkat menengah selepas tamat Tahun Enam,” katanya.

Bagi Bunga Zahirah, penyertaan dalam sukan membolehkan dia lebih berdisiplin apabila guru sering membantu pengagihan masa belajar dan berlatih.

“Saya tidak menyangka dipilih sebagai Olahragawati Harapan sekolah kerana ada rakan lain yang lebih baik, tetapi apa pun menitip semangat saya terus bergiat dalam sukan khususnya acara lumba lari dan permainan bola jaring,” katanya.

Ujarnya, sokongan ibu bapa yang hadir termasuk rakan Rumah Sukan menaikkan semangatnya untuk bersungguh mengerahkan kudrat ketika berlumba lari semasa kejohanan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN