OAKMONT: Pemain golf No.1 dunia, Scottie Scheffler bersedia menempuh ujian paling ekstrem dalam kariernya apabila memburu kejuaraan utama berganda di Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan berlangsung di Oakmont, bermula hari ini.
Juara Masters dua kali itu kini berada dalam prestasi luar biasa dengan tiga kejuaraan dalam empat kejohanan terakhir termasuk gelaran utama ketiga di Kejohanan PGA, bulan lalu.
Scheffler menyifatkan Oakmont sebagai padang golf paling sukar yang pernah ditempuhi dalam hidupnya dan menyatakan ianya adalah cabaran mutlak yang tidak memberi ruang kepada kesilapan.
“Oakmont mungkin padang golf paling sukar yang pernah kami main, mungkin dalam sejarah, dan itulah hakikatnya.
“Saya tidak kisah pun tentang status pilihan atau apa-apa, kerana pada pagi Khamis nanti semua pemain bermula dengan skor sifar dan saya hanya mahu lawan padang ini,” kata Scheffler.
Beliau turut menegaskan tidak peduli dengan status pilihan utama, malah percaya setiap pemain bermula pada titik sama dan hanya perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada padang dan bukan kepada lawan.
Dalam pada itu, pemain AS Collin Morikawa memberi amaran bahawa sesiapa yang gagal memukul ke lorong utama bakal menerima padah kerana rumput tebal Oakmont bukan sekadar tebal, malah mampu memusingkan kepala kelab (kayu golf) secara tidak terkawal.
“Rough (rumput tebal) di sini bukan jenis lembut. Ini tebal gila. Kelab anda boleh berpusing macam gasing bila pukul keluar,” kata Morikawa.
Sementara itu, juara bertahan Bryson DeChambeau menyifatkan Oakmont sebagai padang paling menggerunkan dalam dunia golf dan menegaskan keupayaan untuk dua putt adalah satu-satunya jalan untuk bertahan di ‘neraka hijau’ itu. – AGENSI