Sanggup naik bas sejauh 273 kilometer demi gotong-royong korban

Sanggup naik bas sejauh 273 kilometer demi gotong-royong korban

PENGALAMAN menyertai gotong-royong korban menjadi detik bermakna buat belia lepasan Kolej Profesional Mara Bandar Melaka yang terlibat dalam Program Melaka Qorban House anjuran Koperasi Surau Al-Hikmah Melaka Berhad di Taman Seri Pandan, Lorong Pandan, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Demi mahu sendiri pengalaman menyertai gotong-royong ibadah korban, seorang remaja sanggup meninggalkan kemeriahan Aidiladha bersama keluarga di Kuantan dan bermalam dalam bas menuju ke Melaka.

Muhammad Ilham Alman Mohd Fadil, 19, berkata, dia menaiki bas malam tadi dan tiba di Terminal Melaka Sentral sekitar pukul 2 pagi sebelum terus ke lokasi program korban.

“Saya teruja kerana ini kali pertama saya sertai gotong-royong korban, biasanya golongan dewasa atau warga emas saja yang ambil bahagian.

“Kali ini, bila tahu rakan-rakan kolej juga sertai, saya ambil peluang datang awal pagi, lagipun di kampung, sudah ramai sukarelawan jadi agak sukar hendak libatkan diri,” katanya.

Dia ketika ditemui di Program Melaka Qorban House anjuran Koperasi Surau Al-Hikmah Melaka Berhad di Taman Seri Pandan, Lorong Pandan di sini, hari ini.

Pelajar Diploma Halal Industri (DHI) dari Kolej Profesional Mara Bandar Melaka itu antara hampir 200 sukarelawan pelbagai peringkat umur yang terlibat dalam program tersebut.

Bagi Muhammad Zarief Safwan Zainol Bahari, 19, gotong-royong seperti ini membuka ruang kepada golongan belia menimba pengalaman secara langsung dalam aspek keagamaan, kemasyarakatan dan kepimpinan.

“Dulu saya sekadar bantu bungkus daging, tetapi apabila sudah selalu ikut pak cik, saya belajar melapah dan potong daging pula, pengalaman yang sangat berharga,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Nur Iman Nor Hisham berkata, penglibatan dalam program korban itu ibarat latihan praktikal untuk pelajar jurusan DHI yang sememangnya berkait dengan proses penyembelihan halal.

“Kami belajar teori dalam kelas tetapi di sini kami praktik terus dengan tunjuk ajar daripada orang berpengalaman,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hikmah, Mohd Khairul Zaki Misbah memaklumkan sebanyak 33 ekor haiwan ternakan dikorbankan dalam program tersebut dan diagihkan kepada lebih 3,000 penerima asnaf seluruh negeri.

Menurutnya, pendekatan melibatkan belia dan kanak-kanak sejak empat tahun lalu kini menampakkan hasil apabila ramai dalam kalangan mereka semakin mahir menguruskan ibadah korban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN