DI tengah-tengah deretan kedai klasik di Lebuh Campbell, Pulau Pinang, terselit satu nama yang cukup gah dalam dunia kulinari iaitu Restoran Hameediyah.
Sejak tahun 1907, restoran warisan ini telah berjaya memikat selera rakyat Malaysia dengan keenakan nasi kandar serta nasi briyaninya yang tidak lapuk dek zaman.
Apa yang menjadikan Hameediyah begitu istimewa adalah, komitmen tanpa kompromi mereka dalam mengekalkan rasa asli yang diwarisi sejak tujuh generasi lalu.
Bagi Pengarah Urusan Hameediyah, Mohd. Riyaz Syed Ibrahim, yang kini menerajui legasi keluarga itu bersama generasi baharu, restoran berkenaan bukan sekadar satu perniagaan bagi keluarga mereka, malah, umpama satu institusi.

Kata beliau, sebelum nama Hameediyah dikenali ramai, datuk dan moyangnya sudah mula berniaga secara kecil-kecilan seperti menjual bubur dan mi goreng secara mengandar di sekitar George Town hingga ke Tanjung Tokong.
“Selepas zaman Jepun dan ketika awal penjajahan British, moyang saya berjaya membuka sebuah kedai kecil dan mula memperkenalkan nasi kandar dengan lauk asas seperti ayam, daging, dan ikan.
“Namun begitu, proses mendapatkan lesen rasmi hanya bermula selepas era penjajahan British, atas alasan kebersihan. Dari saat itulah nama Hameediyah mula mengukir nama di persada makanan warisan negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohd. Riyaz berkata, ketika ini, dengan enam cawangan iaitu masing-masing tiga di Pulau Pinang dan tiga lagi di Kuala Lumpur, jenama Hameediyah terus melangkah gagah dalam memastikan keaslian rasa makanan mereka tidak terjejas biarpun telah berkembang.
Kata beliau, rahsianya terletak pada resipi rempah rahsia keluarga, yang masih disediakan oleh ahli keluarga sehingga ke hari ini.
“Rempah kami bukan sekadar bahan. Ia adalah nadi kepada rasa makanan. Dari hari pertama hingga sekarang, rasa itu tidak pernah berubah,” katanya.
Tambah Mohd. Riyaz, setiap cawangan Hameediyah masih mengekalkan dapur masakan sendiri dan chef utama akan melatih tukang masak mengikut standard yang ketat.

Malah, katanya, mereka kini merancang untuk membuka dapur berpusat bagi menjamin konsistensi rasa pada masa akan datang.
“Rempah menyumbang 50 peratus kepada rasa, tetapi, selebihnya datang daripada tangan tukang masak. Seni memasak itu juga penting,” ujarnya.
Mohd. Riyaz berkata, kepelbagaian menu di Hameediyah juga menjadi tarikan dengan menu killer mereka seperti ayam bawang, ayam dos, daging rendang, kari ayam piru dan lamb shank terus menjadi rebutan pelanggan.
Lebih menarik, katanya, generasi muda keluarga itu turut memperkenalkan menu eksotik seperti ayam piru, ayam mutiara, angsa dan daging arnab sejak 10 tahun lalu.
“Ini adalah satu percubaan berani yang ternyata mendapat sambutan, terutama di cawangan-cawangan di utara tanah air,” katanya.
Mohd. Riyaz berkata, pelanggan Hameediyah terdiri daripada generasi berlapis bermula dari datuk hingga ke cucu yang mewarisi tradisi makan di restoran itu dan faktor ini turut membantu mereka kekal relevan untuk tempoh lebih satu abad.
“Pelanggan kami pun tujuh generasi juga. Mereka datang sebab mereka tahu, rasa tidak berubah,” jelasnya.
Tambah beliau, dengan lebih 300 pekerja, perancangan masa depan Hameediyah tidak hanya tertumpu kepada langkah penambahan cawangan, malah, Hameediyah bercita-cita menjadi sebuah empayar kulinari yang akan membawa rasa asli ini ke seluruh Malaysia dan luar negara.
“Dalam masa lima tahun, kita akan kembangkan perniagaan ke luar negara. Tetapi, kita tetap menjaga kualiti dan rasa. Itu paling utama.
“Harga makanan di Hameediyah pula bermula sekitar RM20 seorang, tetapi, boleh mencecah sehingga RM100 bergantung pada pemilihan menu terutamanya jika pelanggan memilih hidangan premium seperti nasi beriani bersama lamb shank atau makanan laut eksotik.
“Di sini, kami bukan sekadar menjual makanan, tetapi, kami turut menyampaikan sejarah dan rasa turun-temurun kepada setiap pelanggan,” katanya. – UTUSAN










