PETALING JAYA: Rachel Arnold menempah slot ke suku akhir dan pilihan pertama itu semakin mencerahkan peluang dalam pemburuannya merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Skuasy Individu Asia 2025 di Kuching, Sarawak, hari ini.
Pemain No. 19 dunia itu mudah membenam wakil Jepun, Risa Sugimoto 11-5, 11-7, 11-8 pada peringkat 16 terbaik, hari ini dan kemenangan tersebut menemukan Rachel dengan pencabar dari Hong Kong, Tong Tsz Wing pada suku akhir.
Pertembungan tersebut menjadi peluang terbaik buat Rachel membalas dendam ke atas pemain ke-46 dunia itu yang pernah menyekat hajat Rachel merangkul gelaran Asia dalam perlawanan akhir edisi 2021.
Seorang lagi wakil Malaysia, Aira Azman yang diletakkan sebagai pilihan kedua turut tidak berdepan masalah mengetepikan pemain Korea Selatan, Ryoo Boram 11-1, 11-3, 11-4.
Pada peringkat lapan terbaik, esok, pemain ke-27 dunia, Aira akan berdepan dengan rakan senegara, Yee Xin Ying yang menyingkirkan wakil Jepun, Erisa Sano 11-4, 11-4, 9-11, 11-7.
Sementara itu, kakak Aira iaitu Aifa pula menundukkan juara bertahan, Chan Sin Yuk dari Hong Kong 11-3, 11-5, 11-5 dan kejayaan tersebut menyaksikan pemain ke-39 dunia itu bertemu seorang lagi wakil Hong Kong, Lee Ka Yi di peringkat seterusnya.
Turut mara ke suku akhir, Noor Ainaa Amani Ampandi yang mengalahkan Akari Midorikawa dari Jepun 11-3, 11-3, 11-6 di pusingan ketiga.
Pemain yang berada di ranking ke-47 dunia itu bakal berdepan ujian lebih berat pada suku akhir apabila dia dijadual menentang wakil Hong Kong, Tomato Ho Tze Lok yang menghuni ranking No. 29 dunia.
Tomato yang diletakkan sebagai pilihan ke-3/4 itu menumpaskan pemain remaja negara berusia 17 tahun, Whitney Isabelle Wilson 4-11, 5-11, 4-11.
Dalam saingan lelaki, dua pemain muda, Joachim Chuah dan C. Ameeshanraj menjadi wakil Malaysia yang meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas pemain senior, Sanjay Jeeva serta Duncan Lee tewas kepada lawan masing-masing di pusingan ketiga.
Joachim mengejutkan pemenang pingat perak berpasukan Sukan Asia 2022, Noor Zaman dari Pakistan 11-3, 11-3, 3-11, 10-12, 11-2, manakala, Ameeshanraj menewaskan Suraj Chand dari India 5-11, 11-3, 11-4, 11-3.
Pada suku akhir, Joachim akan bertemu pilihan ke-3/4, Velavan Senthilkumar dari India, sementara, Ameeshanraj berdepan laluan getir menentang pilihan pertama, Abdullah Al-Tamimi dari Qatar yang merupakan pemain No. 23 dunia.
Sanjay tumpas di tangan Wong Chi Him dari Hong Kong 8-11, 11-3, 5-11, 11-7, 8-11, manakala, Duncan kalah kepada Lau Tsz Kwan juga dari Hong Kong 8-11, 11-4, 11-13, 1-11. – UTUSAN