Produk inovasi cecair ekstrak daun mahang muncul juara RESPEx 225

Produk inovasi cecair ekstrak daun mahang muncul juara RESPEx 225

PASUKAN Kolej Komuniti Tampin dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi pertandingan RESPEx 2025 yang berlangsung di Politeknik Port Dickson hari ini menerusi projek inovasi bertajuk Mahang Gold: Ornamental Fish Expert. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kolej Komuniti Tampin menjadi pemenang utama pertandingan inovasi Regional Educators dan Students’ Product Exhibition (RESPEx) 2025 menerusi projek Mahang Gold: Ornamental Fish Expert.

Ketua projek, Nurashikin Anjur, 36, yang juga pensyarah bagi program Sijil Khas Ikan Hiasan berkata, produk inovasi tersebut adalah dengan mengekstrak daun mahang ke dalam bentuk cecair bagi membantu menstabilkan kualiti air.

Katanya, daun mahang merupan tumbuhan yang sering digunakan dalam industri penternakan ikan hiasan bagi menstabilkan kualiti air dan mengurangkan tekanan kepada ikan peliharaan.

“Kami mengekstrak daun mahang ini menjadi cecair formulasi khas, yang hanya perlu dititiskan ke dalam akuarium untuk menstabilkan pH air, mengurangkan stres pada ikan dan mencegah pertumbuhan bakteria sekali gus mewujudkan persekitaran sihat dan menyerupai habitat asal ikan.

“Inovasi ini bukan sahaja lebih bersih dan praktika, malah mudah digunakan oleh penternak bandar yang sebelum ini menghadapi kesukaran mendapatkan sumber daun mahang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nurashikin berkata, produk inovasi tersebut telah mula dihasilkan pada tahun 2023 bersama pelajar serta kakitangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Saya menggunakan produk ini untuk membantu pelajar amnya tentang cara penjagaan kualiti air ikan hiasan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya menyumbang kepada sektor industri ikan hiasan,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan Kolej Komuniti Tampin turut merangkul tempat pertama bagi kategori profesional sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Nilai Impian muncul juara menerusi kategori sekolah dengan inovasi bertajuk Stesen Pintar iaitu alat bantuan senaman pendidikan khas.

RESPEx 2025 dianjurkan di Politeknik Port Dickson dengan membawa tema Innovating, Integrating and Sustaining TVET Through Technology yang menerima lebih 100 penyertaan termasuk dari institusi pengajian tinggi dari Indonesia, Brunei dan Korea Selatan.

Sementara itu, Pengarah (Pengurusan) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Sheikh Arifin Sheikh Mohd Noor dalam ucapannya berkata, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasioal (TVET) menjadi laluan strategik membina masa depan negara yang berdaya saing, selari dengan Dasar TVET Negara 2030 dan Pelan Transformasi Digital Negara.

“Dengan menyelaraskan sistem pendidikan dengan keperluan industri serta teknologi terkini, kita mampu membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi yang luar biasa, mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dan menjamin masa depan yang makmur untuk golongan belia negara,’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN