Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Ketua Pengakap Negara Mej. Jen. Datuk Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin baru-baru ini, menyempurnakan majlis pelancaran Lencana Kepandaian Biodiversiti Pengakap di Putrajaya.
Pelancaran lencana biodiversiti tersebut sekali gus menjadikan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) sebagai satu-satunya pertubuhan belia tempatan yang memiliki skim lencana sedemikian.
Majlis yang turut dihadiri bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRE), Nik Nazmi Nik Ahmad antara lain memperkenalkan tiga reka bentuk lencana berkenaan.
Turut hadir mewakili PPM ialah kedua-dua Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara iaitu Ahmad Sabri Saad dan Mohd Hilmi Abu Bakar.
Mohd. Hilmi berkata, pelancaran tersebut diadakan sempena mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara kali Ke-3 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Pelancaran ini adalah hasil perbincangan kita yang agak panjang dengan Sokongan Pelaksanaan Dasar Biodiversiti, iaitu salah satu unit dalam Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang kita menjalankan kerjasama rasmi dalam aktiviti-aktiviti berkaitan biodiversiti.
“Ini yang bermaksud merangkumi semua benda hidup termasuk manusia, haiwan dan tumbuhan jadi kita di pengakap akan beri fokus kepada aktivti-aktiviti konservasi hutan, terumbu karang sebagai contoh, serta haiwan yang duduk di ekosistem tersebut,” katanya.
Tindakan tersebut kata beliau akan merapatkan masyarakat dengan alam sekitar. – UTUSAN