Persaraan usia 75 tahun perlu dipertimbang - Bekas PM Sweden

Persaraan usia 75 tahun perlu dipertimbang – Bekas PM Sweden

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Individu seharusnya digalakkan untuk terus bekerja sehingga usia 75 tahun bagi menyesuaikan diri dengan jangka hayat yang semakin panjang serta memastikan kelestarian sistem pencen negara.

Itu saranan bekas Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt yang menegaskan bahawa konsep persaraan tradisional perlu dinilai semula.

Reinfeldt berkata, perubahan demografi global menyaksikan peningkatan populasi warga emas memerlukan anjakan paradigma dalam dasar persaraan dan struktur tenaga kerja.

“Ramai hidup sehingga usia 80 atau 90 tahun, tetapi sistem persaraan kita masih berpandukan logik zaman dahulu apabila orang hanya hidup sekitar 60 tahun. 

“Ini memberi tekanan besar kepada sistem pencen dan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangannya dalam Persidangan ke-12 2025 (ISWC 2025) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Reinfeldt berkata, ramai individu sebenarnya masih mampu menyumbang dalam pasaran kerja pada usia 65 tahun ke atas, malah pengalaman mereka wajar dimanfaatkan terutama dalam sektor yang memerlukan kepakaran dan bimbingan.

Katanya, perubahan corak demografi memerlukan dasar pekerjaan dan persaraan yang lebih fleksibel dan inklusif, dengan mengambil kira potensi tenaga kerja berusia yang masih produktif.

“Keperluan untuk menyesuaikan sistem pencen agar kekal mampan dan tidak membebankan kerajaan atau generasi muda perlu diberi perhatian.

“Satu pendekatan baharu diperlukan, di mana pekerjaan lebih bersifat pilihan dan terbuka kepada semua peringkat umur, termasuk mereka yang ingin terus bekerja selepas umur persaraan.

“Penyertaan warga emas dalam pasaran kerja bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap pencen, malah memberi nilai tambah kepada ekonomi menerusi pengalaman, kepimpinan dan jaringan sosial mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengutarakan keperluan untuk mengkaji semula had umur persaraan kepada 65 tahun.

Azalina berkata, ramai rakyat Malaysia masih sihat, aktif dan berkemampuan untuk bekerja meskipun melepasi umur 60 tahun.

Ketika ini, umur persaraan wajib di Malaysia ialah 60 tahun bagi sektor awam dan swasta, yang masing-masing dinaikkan pada 2014 daripada 58 dan 55 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN