Perpustakaan Digital: Negara ASEAN disaran percepat penyertaan - Utusan Malaysia

Perpustakaan Digital: Negara ASEAN disaran percepat penyertaan

AARON Ago Dagang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Kongres Persidangan Agung Pustakawan Asia Tenggara dan Mesyuarat ke-19 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara ASEAN disaran mempercepatkan penyertaan dalam Perpustakaan Digital ASEAN (ADL) sebagai langkah penting memperluas akses inklusif dan saksama kepada ilmu pengetahuan di rantau ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ADL antara inisiatif serantau paling ampuh dalam memperkukuh kerjasama ilmu dan budaya merentasi sempadan negara-negara ASEAN.

“Platform ini membuktikan apa yang boleh dicapai apabila negara-negara ASEAN bersatu dengan komitmen bersama untuk memelihara, berkongsi dan mendemokrasikan ilmu. 

“Ia adalah simbol kejayaan kolektif dalam menjadikan ilmu satu aset serantau yang boleh diakses oleh semua,” katanya semasa berucap sempena Persidangan dan Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

ADL merupakan platform digital kolaboratif yang menghimpunkan metadata daripada perpustakaan kebangsaan negara anggota ASEAN. 

Walaupun masih dalam fasa pembangunan, sistem ini telah menyediakan akses rentas negara kepada puluhan ribu bahan digital seperti manuskrip langka, buku, artifak budaya, imej dan surat khabar.

Aaron berkata, penyertaan aktif semua negara anggota akan memperkayakan kandungan dan kepelbagaian ADL, sekali gus memperkasa penyelidik, pelajar dan rakyat untuk mengakses maklumat bermutu tinggi dalam bahasa dan konteks budaya masing-masing.

“Untuk melangkah ke hadapan, kita juga perlu melabur dalam infrastruktur digital bersama, membina keupayaan pustakawan dan arkivis serta mewujudkan piawaian metadata yang serasi bagi memudahkan integrasi koleksi kebangsaan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan mendigitalkan sistem pengetahuan masyarakat orang asal dan bahasa-bahasa tempatan agar warisan ASEAN dapat didokumentasikan secara menyeluruh.

“ADL tidak hanya menjadi arkib digital semata-mata, tetapi sebuah jambatan ilmu yang hidup menghubungkan rakyat, sejarah dan masa depan kita. 

“Ini adalah satu langkah penting ke arah membina komuniti ASEAN yang lebih inklusif, berinformasi dan berintegrasi,” katanya. 

CONSAL XIX 2025 bertemakan Memanfaatkan Inklusiviti, Memperkasa Kemanusiaan, yang menekankan peranan perpustakaan sebagai pemacu keterangkuman dalam akses dan penyebaran pengetahuan merentas sempadan budaya dan sosial.

Ia merupakan persidangan tiga tahun sekali dan menjadi platform kerjasama serantau utama bagi para profesional perpustakaan di ASEAN, membabitkan negara anggota yang diwakili oleh persatuan pustakawan kebangsaan dan institusi perpustakaan utama masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN