KUALA LUMPUR: Pustakawan di seluruh negara ASEAN digesa menjadikan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang hidup, inklusif dan berdaya tarik kepada masyarakat pelbagai lapisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perpustakaan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai tempat memperkenalkan buku atau menyebarkan ilmu semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai ruang perbincangan yang bermanfaat.
“Saya kurang bersetuju apabila pelajar datang ke perpustakaan, khususnya perpustakaan utama, hanya untuk duduk diam dan membaca.
“Kita juga perlu menjadikan perpustakaan sebagai ruang yang membudayakan perbincangan dan wacana ilmu.
“Kini, kita telah mewujudkan program khas yang menyediakan bilik-bilik belajar bagi membolehkan sesi perbincangan dijalankan dalam kawasan perpustakaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mengulas sejarah perkembangan perpustakaan, Anwar berkata, evolusi penyimpanan ilmu yang dahulunya bermula dengan gulungan kertas dan mikrofilem kini berkembang dalam bentuk digital.
“Saya amat menghargai inisiatif yang telah mewujudkan perpustakaan digital untuk rantau Asia. Ia satu pencapaian penting dalam mendemokrasikan akses kepada ilmu,” katanya.
Anwar turut menekankan perpustakaan masa kini perlu menyesuaikan keperluan dengan kehendak semasa, khususnya generasi muda yang mahukan ia lebih daripada sekadar ruang senyap untuk membaca.
“Suasana perpustakaan dahulu sunyi dan penuh tumpuan. Namun masyarakat terutamanya anak muda mahukan ruang terbuka yang bersifat interaktif dan dinamik.
“Perpustakaan moden perlu menjadi hab yang hidup, terhubung dengan budaya dan seni serta menawarkan pelbagai medium seperti podcast, filem, pangkalan data, e-buku dan bahan digital lain yang mencerminkan cara masyarakat belajar dan meneroka hari ini,” katanya.
CONSAL XIX 2025 bertemakan ‘Memanfaatkan Inklusiviti, Memperkasa Kemanusiaan’ yang menekankan peranan perpustakaan sebagai pemacu keterangkuman dalam akses dan penyebaran pengetahuan merentas sempadan budaya dan sosial.
Ia merupakan persidangan tiga tahun sekali dan menjadi platform kerjasama serantau utama bagi para profesional perpustakaan di ASEAN, membabitkan negara seperti Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, yang diwakili oleh persatuan pustakawan kebangsaan dan institusi perpustakaan utama masing-masing. – UTUSAN