ISKANDAR PUTERI: Datuk Seri Anwar memberi jaminan pembangunan ekonomi dan teknologi negara akan dilaksanakan bersandarkan nilai dan teras budaya masyarakat Malaysia.
Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan lari daripada prinsip itu ketika seluruh dunia sedang mengalami transformasi, khususnya dalam era digital melibatkan pelbagai bidang teknologi.
“Pembangunan pesat di Malaysia dan Johor adalah untuk rakyat, bermakna ada elemen kemanusiaan yang perlu diambil kira, termasuk aspek kesejahteraan hidup, pendidikan, kesihatan dan teknologi.
“Terdapat keperluan untuk menggesa generasi sekarang menumpukan dalam pelbagai disiplin baharu. Benar, kita akan ketinggalan jika tidak mengadaptasi teknologi serta kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan, tetapi perlu berasaskan nilai moral, budaya dan bahasa tempatan,” katanya dalam Ucaptama sempena Forum Nikkei Medini Johor 2025, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.
Anwar turut memuji pelaksanakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini mendapat tumpuan pelbagai pemimpin dari seluruh dunia.
“Ketika pertemuan saya dengan Perdana Menteri Jepun baru-baru ini, beliau juga membangkitkan soal JS-SEZ apabila bercakap tentang Malaysia, bukan hanya Putrajaya.
“Bukan sahaja Jepun, JS-SEZ juga telah menarik minat pelabur China, Korea Selatan dan negara-negara Eropah. Ini kerana, zon ekonomi ini melibatkan kerjasama baik antara dua negara yang mahu melihat kedua-duanya terima manfaat.
“Kredit harus diberikan kepada agensi Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Johor dan kepada Singapura kerana komited tinggi diberikan dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Forum Nikkei Medini Johor berlangsung selama dua hari bermula semalam bertemakan ‘Menerajui Hab Inovasi Asia’ menghimpunkan lebih 800 peserta dan delegasi secara kehadiran fizikal dan dalam talian. – UTUSAN