JOHOR BAHRU: Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah, iaitu Misnan Ahmad, 60, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Syaraya, Mekah selepas meninggal dunia akibat sakit jantung.
Anaknya, Mohamad Hazrul Haziq, 30, memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.31 petang waktu tempatan ketika menunaikan ibadah haji bersama isterinya.
“Kami bersyukur urusan pengebumian ayahnya telah selamatkan dilaksana dengan baik dan lancar.
“Abah tidak pernah kata kepada kami bahawa dia mahu meninggal dunia di Mekah, mungkin telah ditakdirkan begitu jadi kami sekeluarga terima dengan hati terbuka, itu yang terbaik buatnya.
“Dia meninggal dunia akibat sakit jantung pada pukul 4.31 petang waktu tempatan. Dia pergi menunaikan haji bersama isterinya,” katanya.
Allahyarham meninggalkan enam anak, tiga menantu serta dua cucu.
Mohamad Hazrul turut memaklumkan bahawa Allahyarham mula berkhidmat bersama ADUN Larkin sejak 2022 dan dikenali sebagai seorang yang komited serta meletakkan kepentingan masyarakat sebagai keutamaan.
“Beliau tidak pernah mengeluh penat dalam menjalankan tugas,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Hairi dalam satu kenyataan turut menzahirkan kesedihan atas pemergian pegawai yang disifatkan amat berdedikasi itu.
“Dengan rasa hiba, saya memaklumkan kehilangan seorang pegawai yang amat saya hargai, Misnan Ahmad, yang telah kembali ke rahmatullah selepas menerima rawatan di Hospital King Abdul Aziz, Mekah,” ujarnya. – UTUSAN