PENDANG: Hujan sejak awal pagi tidak menghalang ratusan pengunjung membanjiri Pasar Kemboja di Kolam MADA dekat sini, bagi membuat persiapan terakhir menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal diraikan esok.
Tinjauan mendapati orang ramai mula memenuhi bazar yang popular itu seawal pukul 7 pagi, memburu pelbagai barangan keperluan hari raya termasuk pakaian, kuih-muih, peralatan rumah dan barangan tradisional – semuanya pada harga mampu milik.
Menurut Dessari Abdul Latif, 42, dari Kuching, Sarawak, pasar ini menjadi destinasi wajib setiap kali pulang ke kampung suami di Jeniang, Sik.
“Banyak pilihan di sini, baju kurung pun ada yang serendah RM30 sepasang. Kuih dan kerepek pun kami beli sikit untuk juadah pagi raya. Walaupun sekadar tumpang sambut Aidiladha, tetap meriah bila dapat berkumpul ramai-ramai,” katanya.
Sementara itu, Ruslan Aziz, 43, dari Kodiang, berkata beliau dan keluarganya keluar selepas Subuh untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku menjelang perayaan.
“Kami sampai awal sebab jalan biasanya sesak kalau lambat. Bazar ini memang buka awal dan orang pun ramai. Anak-anak seronok beli baju raya. Murah dan banyak pilihan, puas hati,” katanya.
Peniaga pakaian, Zulkifli Adam Cha, 42, pula berkata, jualan meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.
“Kalau Jumaat biasa, sederhana saja. Tapi bila dekat raya, memang ‘pecah’ jualan. Baju raya antara RM30 hingga RM50 sepasang, memang laris,” katanya.
Pasar Kemboja yang beroperasi setiap Jumaat sejak lebih 10 tahun lalu terus menjadi tumpuan warga Kedah untuk persiapan perayaan dengan suasana meriah dan harga berpatutan. – UTUSAN