KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape secara menyeluruh dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, keputusan itu dicapai selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini, hari ini.
Beliau berkata, fatwa berkenaan telah disampaikan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Pahang pada 3 Mac lalu dan dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pada 14 Mei.
“Fatwa ini turut mendapat limpah perkenan Sultan Pahang yang telah beberapa kali bertitah menyuarakan kebimbangan terhadap kesan buruk penggunaan vape,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Menurut Syed Ibrahim, pihak berkuasa tempatan disaran melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah dan berhikmah agar masyarakat memahami bahaya penggunaan vape.
“Kita faham peniaga mungkin berdepan kekangan, jadi mereka boleh mulakan langkah secara beransur-ansur seperti tidak lagi mengambil bekalan vape.
“Pengguna pula digalakkan untuk berikhtiar meninggalkan tabiat ini dengan bantuan doa kepada Allah SWT,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersetuju meluluskan kenaikan pangkat secara one-off melibatkan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional Gred S9, S10 dan S12 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). – UTUSAN