KUALA LUMPUR: Kehadiran pemain warisan baharu ternyata memberi impak besar buat skuad Harimau Malaya apabila membantu skuad negara membelasah Vietnam 4-0 pada aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, sebentar tadi.
Lebih manis, trio penyerang warisan baharu negara, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado turut mencetak nama sebagai penjaring pada penampilan pertama mereka bersama Harimau Malaya.

Keputusan itu memastikan dua misi negara diburu skuad bimbingan Peter Cklamovski berjaya dicapai apabila menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam serta meraih tiga mata berharga untuk mencerahkan peluang ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dihadiri 61,512 penyokong , skuad negara bermula baik apabila menguasai babak pertama dan mencipta beberapa peluang namun gagal menyudahkan dalam bentuk jaringan.
Malaysia hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-36 namun rembatan Dion Cools daripada luar kotak sekadar menggegar tiang kiri pintu gol dikawal, Nguyen Filip.
Harimau Malaya sekali lagi hadir menguji Filip, kali ini menerusi tandukan Joao Figueiredo namun dinafikan pemain darah campuran Republik Czech-Vietnam itu empat minit kemudian.
Dua minit sebelum babak pertama berakhir, Arif Aiman Hanapi memiliki peluang keemasan untuk mencetak nama sebagai penjaring namun keputusan melakukan lambungan ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan Filip gagal disempurnakan dengan baik.
Bermula babak kedua, Figueiredo hanya memerlukan lima minit untuk merobek gawang dikawal oleh Nguyen Filip menerusi larian ke depan sebelum melepaskan rembatan yang terbias pertahanan Vietnam sebelum bola menerjah jaring.
Gol itu ternyata menyuntik semangat skuad negara untuk terus memburu gol dan usaha berterusan Malaysia berhasil pada minit ke-59, kali ini menerusi sentuhan pemusnah Holgado yang bijak menyudahkan umpanan Arif Aiman Hanapi.
Arif Aiman sekali lagi menjadi pergerak kepada jaringan ketiga Malaysia apabila hantaran lintangnya mudah ditampan masuk oleh Corbin Ong pada minit ke-67.
Harimau Malaya terus bernafsu memburu gol dan hasilnya giliran Cools mencipta nama sebagai penjaring apabila mudah menanduk hantaran lintang oleh Endrick di minit ke-88 untuk memberi kemenangan bergaya buat Malaysia.
Keputusan itu meletakkan Malaysia memimpin Kumpulan F dengan mengumpul enam mata selepas memulakan kempen pertama menewaskan Nepal 2-0, sebelum ini.

Perlawanan seterusnya buat Harimau Malaya adalah berdepan Laos pada bulan Oktober nanti.-UTUSAN