Sejumlah 30,000 pelajar dari Sabah dan Sarawak menyertai program Minggu Sains Negara (MSN) 2025 yang melibatkan 14 buah sekolah di Sarawak dan 13 dari Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, program tersebut memanfaatkan penyertaan pelajar dari sekolah luar bandar yang memfokuskan pameran ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
“Dengan adanya inisiatif ini lebih ramai pelajar akan berpeluang menyertai dan kita juga bukan hanya fokus kepada pelajar yang di bandar, tetapi luar bandar untuk pelajari lebih tentang pelajaran sains dan teknologi.
“Malah, dalam beberapa bulan ini kita akan menjelajah sekurang-kurangnya enam buah negeri lain, selain negeri utama menerusi Kembara Sains Borneo ini dengan membawa alat-alat pameran itu sendiri dengan tujuan menarik minat pelajar terhadap bidang sains,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Program Minggu Sains Negara 2025 di Kampus Universiti Teknologi MARA Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Lih Kang berkata, penganjuran MSN pada tahun ini merupakan tahun yang ke-8 sejak dilancarkan pada tahun 2018.
“Usaha ini adalah komitmen Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten.
“Dalam memastikan momentum kejayaan penganjuran MSN diteruskan pada tahun 2025, MOSTI mengekalkan pendekatan pelaksanaan MSN secara menyeluruh sehingga ke akar umbi melalui pelaksanaan aktiviti secara fizikal di sebahagian besar lokasi di Borneo dan Semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, Pelaksanaan MSN adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI melalui usaha bersepadu dengan menggerakkan pelbagai aktiviti berlandaskan STI secara besar-besaran.
“Berdasarkan sambutan positif tahun lalu, MOSTI menyasarkan lebih 300,000 penyertaan tahun ini menerusi lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang dirancang bagi memastikan impak program kekal berterusan, relevan dan menyeluruh kepada semua kumpulan sasaran,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau kerajaan MADANI memandang serius mengenai bakat STEM seiring dengan keperluan negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan dalam bidang tersebut bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Bertemakan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi, Mengarusperdanakan Inovasi”, MSN menekankan aspek keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam menyemarakkan inovasi sains sejajar dengan kepesatan teknologi terkini.
Sebagai rekiod, pelaksanaan Karnival MSN 2025 ini akan diadakan secara fizikal dan bersasar di enam (6) zon dengan permulaannya pertama Karnival MSN 2025 di Kuching, Sarawak. – UTUSAN